RIYADH: Arab Saudi meminta bantuan sekutu serantau dan negara Barat untuk memperkukuh pertahanan udaranya susulan stok peluru berpandu pemintas yang semakin berkurangan ketika berdepan serangan kumpulan Houthi di Yemen.
Menurut laporan Korea Herald memetik dua pegawai serantau, Riyadh meminta Perancis, Britain, Pakistan dan Mesir menghantar aset pertahanan udara ke rantau berkenaan bagi membantu melindungi negara itu daripada serangan peluru berpandu dan dron dilancarkan Houthi serta kumpulan lain yang disokong Iran.
Salah satu sumber berkata, Arab Saudi berada dalam kedudukan sangat sukar kerana perlu melindungi pangkalan tentera, kemudahan kerajaan penting dan infrastruktur minyak di seluruh negara.
Menurut seorang pegawai, permintaan bantuan kepada sekutu itu turut didorong oleh pengurangan stok peluru berpandu pemintas Amerika Syarikat (AS) akibat perang selama enam bulan dengan Iran.
Pada masa sama, seorang pegawai serantau berkata, Riyadh mahu menggerakkan rakan-rakan antarabangsa bagi memberi tindak balas bersama terhadap Houthi, tetapi buat masa ini memilih untuk memberi peluang kepada usaha diplomatik.
Katanya, Oman dan Mesir juga sedang berusaha meredakan ketegangan di Yemen.
Pada Rabu, Arab Saudi menuduh Houthi cuba menyerang Mekah menggunakan dron dan berkata, pihaknya berjaya memintas pesawat tanpa pemandu itu. Kerajaan Arab Saudi menyifatkan serangan itu telah melanggar garis merah’.
Bagaimanapun, Houthi menafikan Mekah yang terletak kira-kira 1,100 kilometer dari sempadan Yemen itu menjadi sasaran mereka.
Tom Wells yang merupakan Jurucakap Perdana Menteri Britain, Andy Burnham mengesahkan hubungan pertahanan rapat London dengan Arab Saudi.
Namun, ia tidak menjelaskan sama ada Riyadh meminta bantuan ketenteraan atau sama ada anggota tentera Britain berada di negara itu.
Pegawai di Turkiye dan Pakistan pula memberitahu agensi berita Associated Press mereka tidak menerima permintaan daripada Arab Saudi untuk memberikan bantuan susulan peningkatan serangan Houthi.
Houthi turut mendakwa mereka menembak jatuh sebuah jet pejuang F-15 milik gabungan yang disokong Arab Saudi di wilayah Marib, Yemen tengah.
Mereka menyiarkan video yang menunjukkan serpihan pesawat dengan bendera Arab Saudi tetapi Associated Press tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.
Serangan udara Arab Saudi di Yemen membunuh seorang penduduk dalam serangan di bandar Abs dan menyasarkan tiga menara telekomunikasi di wilayah Taiz pada Khamis, menurut media Houthi, dalam serangan terbaharu sejak kumpulan yang disokong Iran itu menguasai seluruh pantai Laut Merah.
Penguasaan wilayah terbaharu itu mengukuhkan kedudukan Iran dan sekutunya di dua laluan perairan yang menjadi sandaran negara-negara Teluk, termasuk Arab Saudi selaku pengeksport minyak mentah terbesar untuk menghantar minyak mereka.
Konflik di negara paling miskin di Semenanjung Arab itu menyebabkan lebih 100,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).










