'Ini adalah satu amanah, tanggungjawab besar'

‘Ini adalah satu amanah, tanggungjawab besar’

Shahril Mokhtar (kiri) bersalaman dengan Ab Ghani Hassan pada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui badan induk bola sepak negara sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar.

Ab Ghani yang dipilih sebagai Presiden FAM kesembilan berkata, beliau bertekad membalas kepercayaan ahli-ahli gabungan dengan sebaik mungkin dalam usaha memperkukuhkan kembali keyakinan terhadap FAM.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan ahli gabungan kepada saya sebagai Presiden FAM bagi baki penggal 2025 hingga 2029.

“Sesungguhnya, ia merupakan satu cabaran yang amat besar buat kami yang diberi amanah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab besar untuk bersama-sama membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Presiden FAM, semalam.

Ketika ditanya mengenai langkah pertama yang akan diambil selepas diberi mandat menerajui FAM, Ab Ghani menjelaskan beliau belum bersedia mengumumkan sebarang pelan tindakan kerana mahu terlebih dahulu mendapatkan pandangan dan persetujuan barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang baharu.

“Bagi saya, biarlah saya masuk ke pejabat terlebih dahulu untuk memahami segala perkara yang sedang berlaku.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada hari ini (semalam), saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut dan telah meminta Setiausaha Agung FAM mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif secepat mungkin dengan notis 14 hari.

“Selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang pertama, saya akan memanggil pihak media bagi membentangkan perkara-perkara yang boleh dimaklumkan serta menjawab sebarang pertanyaan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Ab Ghani dipilih sebagai Presiden FAM selepas memperoleh 20 undi pada Kongres Pemilihan Luar Biasa FAM, semalam.

Beliau menewaskan seorang lagi calon, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi, sekali gus mendapat mandat majoriti ahli gabungan untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu bagi baki penggal 2025 hingga 2029.

Keputusan itu menyaksikan Ab Ghani mendapat sokongan majoriti ahli gabungan FAM untuk menerajui badan induk bola sepak negara bagi baki penggal 2025/2029. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×