Ikan pemangsa di Empangan Klau konsisten ciri pirana

Ikan pemangsa di Empangan Klau konsisten ciri pirana

SEEKOR ikan jenis pirana yang ditemukan di Empangan Klau, Raub, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penemuan seekor ikan dipercayai jenis pemangsa di Empangan Klau, Raub, Pahang baru-baru disahkan mempunyai ciri-ciri morfologi konsisten dengan kumpulan ikan pirana Pygocentrus.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies belum dapat dibuat disebabkan spesimen fizikal ikan berkenaan tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut beliau, ini kerana ikan terbabit dilaporkan telah mati dan dibuang individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan.

“Setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut.

“Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September 2026 juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis pirana di Empangan Klau, Raub sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.

Berdasarkan keterangan individu terbabit, hanya seekor ikan didakwa sebagai pirana ditangkap pada hari kejadian manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass.

Dalam pada itu Adnan berkata, berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti me­nunjukkan kewujudan populasi pirana yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.

“Orang awam tidak perlu panik dan pihak kami akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×