PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan mengugut seorang wanita, dua tahun lalu.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi.
Peguam bela, Boestamam Ahmad ketika dihubungi berkata, wanita itu telah hadir memberi keterangan sebelum ini namun pendakwaan telah memohon agar pengadu hadir semula untuk mendapatkan keterangan tambahan.
Bagaimanapun, wanita terbabit gagal untuk hadir pada prosiding bertarikh 27 Ogos lalu dan hari ini (17 September).
“Kami memohon agar anak guam kami dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan.
“Kami menghujahkan bahawa sekiranya prosiding diteruskan ia hanya akan membuang masa. Bagaimanapun pendakwaan menghujahkan mereka memerlukan masa untuk meneliti semula pertuduhan tersebut.
“Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk DNAA,” kata peguam itu.
Mohamad Riza turut diwakili peguam bela, Shahruddin Othman.
Pada 18 September 2025, Mohamad Riza didakwa menakutkan Siti Nur Dalila Diyana Ismail, 27, dengan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan selepas wanita itu enggan menarik semula laporan polis di parkir bangunan Galeria, Presint 4 pukul 10 malam pada 9 September 2024.
Pendakwaan terhadap ahli perniagaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohamad Riza mengucapkan rasa syukur kerana tidak disabitkan atas kesalahan terbabit walaupun terpaksa melalui proses perundangan yang lama.
Menurutnya, turun-naik mahkamah dalam tempoh lama memberi kesan besar terhadap kehidupan peribadi, reputasinya termasuk imej keluarga, pekerjaan serta kewangannya.-UTUSAN









