Penganjuran MTHQA Ke-66 tampil pameran seni khat sedunia

Penganjuran MTHQA Ke-66 tampil pameran seni khat sedunia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 Tahun 1448H/2026M di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.-UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran seni Khat sedunia akan diadakan sempena penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pameran yang menghimpunkan karya penggiat khat tempatan dan antarabangsa adalah sebagai usaha mengangkat seni khat Al-Quran sebagai warisan peradaban Islam.

Menurutnya, pameran berkenaan akan menampilkan pakar seni khat dari dalam dan luar negara, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pengaruh khat dari pelbagai peradaban.

“Seni khat yang diketengahkan bukan hanya berasaskan tradisi Nusantara sebaliknya turut menampilkan pengaruh dari China, India, Arab dan Turkiye.

“Ini merupakan satu program baharu yang kita perkenalkan di mana akan menampilkan pameran khat, seni khat daripada tempatan dan antarabangsa dan Insya-Allah ini akan menjadi salah satu daripada tumpuan kepada peserta-peserta dan juga tetamu-tetamu dan juga sidang hadirin yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Pra Pelancaran MTHQA Tahun 1448/2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau berkata, seramai 266 peserta dari 133 negara disaring untuk menyertai MTHQA ke-66 tahun ini.

Katanya, jumlah peserta yang disaring itu meningkat berbanding 104 peserta dari 101 negara pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, hanya 50 peserta terbaik dari 38 negara dipilih hadir secara fizikal ke Malaysia, membabitkan kategori Tilawah dan Hafazan Al-Quran.

“Malaysia pula diwakili empat peserta terbaik, terdiri daripada dua peserta Tilawah dan dua peserta Hafazan Al-Quran bagi edisi MTHQA kali ini,” katanya.

Tambah Zulkifli, peningkatan jumlah peserta dan negara yang disaring tahun ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan Malaysia serta memperluas penyertaan antarabangsa.

“MTHQA ke-66 turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu menerusi naratif Nur Darul Quran bagi mengetengahkan Darul Quran sebagai pusat kecemerlangan antarabangsa.

“Selain itu, pemilihan maqra’ diberi perhatian supaya ayat yang diperdengarkan membawa mesej berkaitan perpaduan, ihsan, integriti, kemakmuran dan pembangunan insan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×