SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan cedera parah di bahagian kepala selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian empat meter di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2, di sini pagi semalam.
Mangsa, S. Shaishankar, 4, kini tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat pendarahan di bahagian otak.
Neneknya, M. Sumathi, 47, berkata, cucunya terjatuh selepas memegang jeriji besi yang telah lama reput dan rosak sewaktu bermain di kawasan itu kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
“Saya sedang menyapu sampah di bahagian hadapan rumah di tingkat satu. Tiba-tiba cucu berlari ke arah jeriji itu dan memegangnya sebelum ia patah sehingga menyebabkan dia terjatuh.
“Saya melihat dia tertiarap tidak bergerak dan kepalanya dipenuhi darah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Wanita itu berkata, dia memanggil nama cucunya berulang kali namun tiada sebarang tindak balas sebelum kanak-kanak itu dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar dengan bantuan jiran.
“Cucu dibawa mendapatkan rawatan lanjut di HSAH berikutan kecederaan serius yang dialaminya. Saya kesal kerana kerosakan jeriji itu telah lama berlaku selain beberapa kali telah dilaporkan kepada pihak berwajib namun tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.-UTUSAN










