Tragedi pemancing hilang, bot dinaiki karam dipukul ombak

Tragedi pemancing hilang, bot dinaiki karam dipukul ombak

Pemancing hilang
KHAIRUL Muhidin menunjukkan gambar Muhammad Rizuan Ruhaizat, yang dikatakan biasa turun ke laut dalam untuk memancing, namun hilang selepas keluar memancing di Permatang Sedepa, Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tragedi yang menimpa tujuh pemancing hilang termasuk seorang tekong di perairan berhampiran One Fathom Bank atau Permatang Sedepa, di sini pada Ahad lalu didakwa berpunca daripada bot dinaiki mereka bocor akibat dipukul ombak besar.

Perkara itu dimaklumkan oleh Khairul Muhidin, 47, yang memberitahu kesemua mereka dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan menghampiri rumah api di sana.

Bapa saudara kepada pemancing yang masih hilang, Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, berkata, situasi tersebut diceritakan oleh isteri Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, yang ditemui selamat pada Selasa lalu.

“Menurut mangsa yang selamat, bot dinaiki mereka bocor dan menuju ke rumah api. Kemudian, tekong terbabit (Zulfilkalnain Awang, 47,) sempat mengikat bot pada jeti, bagaimanapun tali ikatan terputus akibat air masuk ke dalam bot dan dipukul ombak.

“Selepas itu, bot mereka terbalik lalu hanyut menjauhi rumah api sehingga memasuki laluan kapal dagang. Ketika itu, mereka bertujuh masih ada bersama-sama sehinggalah dilanggar kapal dagang,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini, hari ini.

Pada ahad lalu, Muhammad Ridzuan bersama enam sekawan iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal, Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43; Zulfikalnain dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, keluar memancing bagi mencari ikan cencaru.

Mereka dikatakan keluar bersama menaiki bot bersaiz 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar menuju ke Permatang Sedepa kira-kira 23.5 batu nautika (43 kilometer) dari Jeti, Sementa kira-kira pukul 8 pagi.

Bagaimanapun, selepas dilaporkan hilang, empat daripada mereka iaitu Mohd. Shairazi, Muhd. Hamiszar, Mohd. Rizal dan Zulfilkalnain dijumpai selamat dalam keadaan lemah oleh nelayan pukat tunda pada Selasa lalu, di perairan Sekinchan, Sabak Bernam.

Kemudian, pada pagi semalam, jenazah Allahyarham Mohd. Shahril dijumpai dalam keadaan terapung dan diikat dengan tong serta jaket keselamatan, kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.

Jelas Khairul, susulan dilanggar kapal, dua daripada mereka didakwa terpisah menyebabkan lima yang tinggal termasuk disahkan meninggal dunia semalam sempat mengikat tali antara satu sama lain kerana bot tempat mereka berpaut itu musnah.

“Sebelum bot terbalik, mereka sempat memakai jaket keselamatan. Kemudian selepas dilanggar kapal, mereka ikat untuk berpaut antara satu sama lain supaya tidak terpisah.

“Kemudian mereka hanyut sehinggalah empat ditemui oleh nelayan pukat tunda pada hari ketiga selepas bot karam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul memberitahu bagaimanapun dia amat berharap supaya anak saudaranya Muhammad Ridzuan dapat ditemui dengan selamat.

“Dia seorang yang lasak, biasa kerja berat dan bekerja dengan syarikat kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB). Jadi, saya rasa dia boleh selamat untuk berada di tengah laut.

“Muhammad Ridzuan yang saudara mara dan jiran kenalinya dengan nama ‘Jiwan’ seorang yang bertanggungjawab, sanggup tidak berkahwin kerana menyara kedua-dua ibu bapanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×