UPM hubungkan penyelidik dengan industri, pelabur melalui URIIS 2026

UPM hubungkan penyelidik dengan industri, pelabur melalui URIIS 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku sekretariat utama University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 akan membantu menghubungkan penyelidik universiti dengan industri dan pelabur bagi membuka laluan lebih luas untuk membawa hasil penyelidikan ke pasaran.

Sidang kemuncak anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama semua universiti awam itu akan berlangsung dari 21 hingga 23 September 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, berkata penganjuran tersebut memberi ruang kepada penyelidik untuk mengenal pasti rakan industri dan pelabur yang berpotensi membantu mengembangkan teknologi mereka.

“Universiti mempunyai hasil penyelidikan dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan oleh industri. Melalui URIIS 2026, kami mahu menemukan penyelidik dengan pihak yang memerlukan teknologi tersebut serta pelabur yang dapat membantu membawanya ke pasaran.

“Pertemuan ini juga membolehkan penyelidik memahami keperluan sebenar industri supaya teknologi yang dibangunkan sesuai digunakan dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin

Menurut beliau, sebagai sekretariat utama, UPM berperanan menyelaras pelaksanaan program bersama KPT, JPT dan universiti awam bagi memudahkan pertemuan serta penerokaan kerjasama antara peserta.

URIIS 2026 akan menghimpunkan penyelidik, wakil universiti, syarikat pemula, pemain industri, pelabur dan agensi kerajaan untuk menilai potensi teknologi serta mengenal pasti peluang kerjasama, pembiayaan dan pelaburan.

Antara pengisian yang disediakan ialah sesi padanan perniagaan yang mempertemukan penyelidik dengan bakal rakan kerjasama, pembentangan teknologi kepada industri dan pelabur, klinik pengkomersialan serta pameran inovasi.

Shamsul Bahri berkata, sesi berkenaan akan membolehkan perbincangan lebih terarah mengenai kegunaan sesuatu teknologi, kesesuaiannya dengan keperluan syarikat dan langkah yang diperlukan untuk membangunkannya bagi pasaran.

“Penyelidik boleh menerangkan bagaimana teknologi mereka membantu menyelesaikan sesuatu masalah, manakala pihak industri boleh berkongsi keperluan dan cabaran yang dihadapi.

“Daripada perbincangan itu, kedua-dua pihak dapat menilai kesesuaian untuk bekerjasama, termasuk melalui pembangunan projek bersama, penggunaan teknologi atau pelaburan,” katanya.

Antara bidang yang akan diketengahkan ialah teknologi pertanian dan makanan, semikonduktor, ekonomi digital, kecerdasan buatan, tenaga mampan, sains hayat serta teknologi halal.

Beliau berkata, kepelbagaian bidang tersebut membuka peluang kepada syarikat daripada pelbagai sektor untuk mendapatkan kepakaran universiti yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

URIIS 2026 turut merancang pemantauan susulan bagi meneliti perkembangan padanan yang diwujudkan sepanjang program, termasuk penilaian teknologi oleh industri, rundingan kerjasama, pelesenan, pembiayaan dan pelaburan.

“Setiap padanan perlu disusuli supaya penyelidik dan rakan industri mempunyai hala tuju yang jelas untuk meneruskan perbincangan. Matlamatnya ialah membuka jalan kepada kerjasama dan penggunaan hasil penyelidikan yang memberi nilai kepada industri serta masyarakat,” katanya.

Penganjuran itu turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dan Clore Sdn. Bhd. bagi meluaskan jaringan antara universiti, agensi kerajaan, industri dan pelabur.

Objektif URIIS 2026 :

* Menjadikan Malaysia sebagai hab penciptaan bersama dan pelaburan inovasi di ASEAN.
* Memperkukuh kerjasama antara industri, universiti dan kerajaan bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi.
* Menggalakkan penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk dalam bidang teknologi baharu dan berpotensi tinggi.
* Menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui hasil penyelidikan dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan dan dilaburkan.
* Memperkukuh peranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri, serta pendidikan yang berimpak tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×