Impian Siti Khadijah berlakon dengan Zul Ariffin tercapai - Utusan Malaysia

Impian Siti Khadijah berlakon dengan Zul Ariffin tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menyimpan hasrat untuk berkongsi layar dengan aktor versatil, Zul Ariffin, impian Siti Khadijah Halim akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka digandingkan menerusi telemovie Takdirnya Cinta.

Menurut Siti, Zul merupakan antara pelakon yang berada dalam senarai untuk bekerjasama sejak penglibatannya dalam industri seni tanah air.

“Dia memang ada dalam senarai impian saya untuk berlakon bersama. Takkanlah saya menolak.

“Bila diberikan peluang, sudah tentu saya tidak akan lepaskan. Sekarang impian itu sudah tercapai, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media telemovie Takdirnya Cinta terbitan UTV, baru-baru ini.

Mengulas pengalaman berganding bersama, Siti mengakui pada awal berasa gementar dan sedikit janggal kerana aura aktor berkenaan cukup kuat di hadapan kamera.

“Kita semua tahu dia mempunyai aura yang kuat. Jadi, pada mulanya saya agak takut dan janggal.

“Namun, alhamdulillah, walaupun dia nampak ‘abang-abang’, di set penggambaran dia seorang yang mudah berbincang dan mesra. Jadi, untuk mendapatkan keserasian dengannya sebenarnya sangat mudah. Lontaran dialognya juga sangat natural.

“Jadi, saya terfikir, ‘Saya kena jadi lebih natural daripada dia.’ Tetapi, alhamdulillah, kami dapat bekerjasama dengan baik,” kongsinya.

Tambah Siti, pengalaman menjalani penggambaran di luar negara juga memberi ruang kepada mereka untuk lebih mengenali antara satu sama lain sekali gus memudahkannya untuk mencipta keserasian di layar.

“Seronok bekerja dengannya. Lebih-lebih lagi apabila menjalani penggambaran di luar negara. Apabila berada jauh, kita tidak mempunyai ramai kawan, jadi Abang Zul antara orang yang saya berkawan sepanjang penggambaran,” ujarnya.

Takdirnya Cinta mengisahkan Sofea, seorang wanita yang baru bertunang sebelum hidupnya berubah apabila tunangnya meninggal dunia dalam satu kemalangan tragis.

Berpegang kepada amanat terakhir yang ditinggalkan, Sofea berangkat ke Istanbul untuk mencari abang tunangnya yang tidak pernah dikenalinya.

Di kota asing itu, Sofea bertemu seorang lelaki misteri yang tanpa disedari mula mendekati
hidupnya dan perlahan-lahan membuka kembali pintu hatinya.

Namun, di sebalik pertemuan yang tidak pernah dirancang itu tersimpan rahsia masa lalu yang
bakal mengubah segala-galanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×