KUALA LUMPUR: Lagak ‘abang long atau “warlord” adalah imej yang sudah sinonim dengan UMNO.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, dalam politik, peluang menjadi dominan, itu sesuatu yang sering kali akan menjadi matlamat utama setiap parti politik yang merasakan mereka masih relevan sebagai aktor yang mampu menawan sebahagian besar kehendak majoriti.
Katanya, kerjasama Bsrisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terutama Pas ini dilihat hanya cenderung kepada “electoral pact” atau pakatan pilihan raya sahaja.
“Memandangkan situasi di Johor dan Negeri Sembilan menjadi petunjuk utama kekuataan ini, tetapi dalam masa yang sama masih berdepan dengan ketidakpastian dalam memutkamadkan matlamat sebenar kerjasama atau sekadar mengulangi situasi yang sama sewaktu Muafakat Nasional dibentuk.
“Sudah dijangkakan isu utama dalam kerjasama ini adalah bagaimana untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 yang bakal tiba,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak selesa dengan saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya membuktikan keikhlasan kerjasama melalui agihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) dalam gabungan SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis).
Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keikhlasan Pas tidak perlu diuji kerana UMNO sendiri tidak melepaskan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, sebaliknya, keikhlasan UMNO setakat ini hanyalah berpakat untuk saling memberi undi dan bukannya bagi melepaskan kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Muhammad Ariff berkata, isu paling utama adalah soal agihan kerusi.
Katanya, seandainya kejayaan kerjasama ini ingin dicapai, “political negotiation” harus mencapai konsensus yang jelas terutamanya dalam agihan kerusi.
“Masalah utama dalam kerjasama ini adalah berkenaan dengan “tumpuan fokus pengundi yang sama” iaitu di kawasan Melayu-Islam.
“Memang pemboleh ubah utama kejayaan kerjasama ini adalah salah satunya melihat kepada kesediaan PN-Pas untuk memberikan sedikit ruang kepada BN (kerusi) di negeri SG4,” katanya.
Menurut beliau, seandainya langkah ini berjaya, tentu sekali ini juga bakal menjadi petanda besar sebagai pengesahan kepada kerjasama BN-PN.
Jelasnya, Kita tidak mahu kerjasama yang dilakukan ini hanya misi dan matlamat untuk kembali menjadi dominan dan meraih kekuasaan kembali.
“Jika elok, kerjasama ini perlu membuktikan mereka bukan mengangkat soal politik identiti yang menjadi teras kepada matlamat mereka tetapi juga mampu memberikan sebuah jaminan dan tawaran yang lebih baik untuk kesejahteraan pengundi dan majoriti rakyat yang memilih mereka,” katanya.
ends










