KLANG: “Itu memang arwah Shahril. Kakak saya iaitu isteri arwah yang cam pakaian dan bentuk badannya.”
Demikian kata Shahdan Samsuri, 41, yang memberitahu abang iparnya, allahyarham Mohd. Shahril Abdul Rahman, 43, antara tiga mangsa sebelum masih dicari selepas empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong hilang sejak Ahad lalu.
“Kakak saya memberitahu dia mengecam pakaian yang digunakan oleh suaminya itu iaitu t-shirt lengan panjang berwarna gelap sering dipakai setiap kali keluar memancing.
“Selain itu, dia juga kenal bentuk telinga yang sedikit runcing pada bahagian bawah cuping selain bentuk badan arwah. Berdasarkan gambar, jenazah berada dalam keadaan terlungkup,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini, hari ini.
Tambahnya, pengecaman secara bergambar dibuat dan akan dilakukan sekali lagi di Hospital Shah Shah Alam selepas berlaku kelewatan kerana menunggu air laut pasang supaya bot dapat pergi ke jeti.
“Jenazah dijangka diuruskan di hospital berkenaan selepas proses bedah siasat selesai cuma urusan pengebumian akan ditentukan oleh keluarga sama ada di Jalan Kebun ataupun di Keratong, Pahang,” ujarnya.
Allahyarham yang bekerja sebagai penyelia pengiklanan di sebuah syarikat meninggalkan tiga orang anak masih bersekolah terdiri daripada dua lelaki berusia 17 dan 11 tahun serta seorang anak perempuan 15 tahun.
Terdahulu jenazah Mohd. Shahril dilaporkan ditemui oleh nelayan di perairan Perak pagi tadi dalam keadaan diikat pada sebuah tong pada jarak 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan bersama dua lagi mangsa belum ditemui iaitu Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, masih dikesan pasukan penyelamat.
Mereka antara tiga yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa dipercayai menuju ke kawasan behampiran rumah api di Permatang Sedepa (One Fathom Bank).
Bagaimanapun empat daripada mereka berjaya ditemukan oleh nelayan pukat tunda di perairan berhampiran Sekinchan selepas lebih 24 jam kehilangan mereka dilaporkan.
Shahdan menambah, abang iparnya itu merupakan seorang yang gemar memancing dan ketika kejadian dia bersama rakan-rakannya bagi mencari ikan cencaru.
“Pada Ahad lalu, dia sepatutnya sudah pun pulang ke rumah pada petang. Namun abang sulung yang tinggal di kawasan sama di Jalan Kebun memberitahu pada malam hari kejadian yang arwah masih belum pulang selain telefon bimbit gagal dihubungi.
“Kakak saya memberitahu, sebelum keluar memancing dia meminta supaya suaminya itu tidak keluar memancing pada hari kejadian kerana cuaca tidak menentu beberapa hari sebelum kejadian,” jelasnya. – UTUSAN










