Umur baru 28 tahun, pendapatan kasar Allif cecah RM10,000 sebulan

Umur baru 28 tahun, pendapatan kasar Allif cecah RM10,000 sebulan

NUR ALLIF SHAMSUDDIN (berdiri) mampu menjana pendapatan kasar mencecah RM10,000 sebulan hasil perniagaan Kedai Gunting Allif yang telah beroperasi selama 10 tahun di Kedai Desa, Dataran Amanjaya Temoh, Tapah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang seni dandanan rambut serta keusahawanan berbentuk  industri kecil dan sederhana (IKS), seorang belia lelaki berumur 28 tahun mampu tersenyum bangga kerana memiliki sebuah kedai gunting yang telah beroperasi selama 10 tahun.

Menurut Nur Allif Shamsuddin, rangkuman kelulusannya peringkat Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Vokasional Slim River dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 Kursus Dandanan Rambut di GiatMara Gopeng membolehkannya memiliki kedai gunting sendiri dan dengan janaan pendapatan kasar mencecah sehingga RM10,000 sebulan.

“Lokasi berhampiran pusat pelancongan terkenal iaitu Taman Tasik Temoh membolehkan saya mempunyai ramai pelanggan tidak mengira kaum Melayu, Cina, India termasuk masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut.

“Kadar caj yang dikenakan bermula RM15 dan saya turut menawarkan rawatan rambut, kulit kepala, mewarna rambut selain cukur jambang dan janggut untuk keselesaan pelanggan yang majoritinya ialah lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kedai Desa, Dataran Amanjaya Temoh di sini baru-baru ini.

Katanya, pelanggan tidak mengira peringkat umur yang bermula dari kanak-kanak sehingga orang lama dengan pelbagai jenis guntingan rambut terkini dan mengikut trend sementara golongan remaja dan belia lelaki gaya rambut pilihan mereka terlalu pantas berkembang.

Nur Allif memaklumkan, setelah beroperasi kira-kira 10 tahun, pendapatan kasar Kedai Gunting Allif (Allif Barber) sekitar RM5,000 hingga RM10,000 sebulan yang menyamai gaji seorang pengurus dan eksekutif profesional.

“Saya menerima purata pelanggan setiap bulan kira-kira 300 hingga 600 orang. Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan (tanpa faedah) Yayasan Perak banyak membantu saya untuk modal pusingan awal bagi memperkembangkan lagi perniagaan.

“Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) turut mengenakan kadar sewa yang berpatutan untuk disewa iaitu RM500 sahaja sebulan selain Mara membantu dalam hal berkaitan pengajian secara percuma serta meningkatkan kemahiran semasa,” katanya.

Dia yang berasal dari Kampung Batu Masjid Temoh berharap kesinambungan perniagaannya berterusan selain mampu menggaji lebih ramai pekerja tempatan berbanding tiga orang setakat ini .

Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan (tanpa faedah) Yayasan Perak bertujuan meningkatkan pendapatan yang lestari dalam memangkin pembangunan ekonomi negeri berprestasi tinggi selain melahirkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan usahawan muda yang berkualiti supaya dapat mengembangkan perniagaan sedia ada secara efektif dan sistematik.

Perkembangan tersebut selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati flagship kelima pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat – 1 Keluarga 1 Usahawan yang antara penerajunya ialah Yayasan Perak hasil cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×