Keretapi Sarong Perlis dijadikan acara tahunan - MB - Utusan Malaysia

Keretapi Sarong Perlis dijadikan acara tahunan – MB

ABU Bakar Hamzah (tengah) bergambar bersama peserta Keretapi Sarong Perlis 2026 yang berlangsung di Padang Besar Street, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penganjuran Keretapi Sarong Padang Besar 2026 yang julung kali diadakan di negeri ini berlangsung meriah dengan disertai lebih 1,000 peserta pelbagai kaum.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, program anjuran Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan agensi-agensi berkaitan berjaya menyemarakkan sambutan Hari Malaysia dengan pelbagai pengisian menarik.

“Program ini sangat berjaya walaupun merupakan kali pertama ia dianjurkan di Perlis.

“Sambutan diterima cukup baik termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Silat, Persatuan Pelukis, Persatuan Bahasa dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan program itu, di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, beliau juga amat berbesar hati dengan penganjuran dan pengelolaan program itu malah kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan pada masa akan datang bagi menjadikannya sebagai acara tahunan.

Kata beliau, suasana kemeriahan program itu sememangnya amat bermakna khususnya dalam meraikan peserta terlibat yang terdiri daripada anak-anak Malaysia.

ORANG ramai mengenakan pakaian tradisional bersempena Keretapi Sarong Padang Besar 2026 di Padang Besar Street, Perlis, hari ini. -UTUSAN/MOHD HAFIZ ABD. MUTALIB

“Saya difahamkan, program seperti ini telah diadakan di negeri-negeri lain, malah di Kuala Lumpur mungkin sudah memasuki penganjuran kali ke 10. Namun, Perlis merupakan kali pertama dan saya bersyukur kerana program ini pertama kali berlangsung di negeri ini pada zaman saya,” katanya.

Katanya, selain dapat mengikut pelbagai aktiviti dan acara sambutan, program itu turut meraikan semangat kecintaan kepada negara bersempena dengan Hari Malaysia yang jatuh tanggal 16 September.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×