Sektor minyak dan gas kekal berdaya tahan

Sektor minyak dan gas kekal berdaya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor minyak dan gas dijangka kekal berdaya tahan apabila harga minyak mentah yang tinggi terus menyokong pendapatan segmen huluan serta mengekalkan permintaan terhadap infrastruktur tenaga., menurut MBSB Research.

Bagaimanapun, prestasi sektor itu dijangka semakin berbeza antara segmen huluan, pertengahan dan hiliran susulan peningkatan kos bahan mentah serta gangguan logistik yang mengubah dinamik industri.

MBSB Research mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor berkenaan, dengan harga minyak mentah dijangka kekal tinggi sehingga penghujung 2026 sebelum menurun pada 2027.

Unjuran itu berdasarkan ramalan Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) dan S&P Global Energy.

“Intipati utama daripada unjuran EIA dan S&P ialah pasaran minyak mentah telah beralih daripada kejutan sementara kepada keadaan normal baharu yang berpanjangan, dicirikan gangguan bekalan struktur, risiko laluan perkapalan utama serta kekangan kapasiti penapisan,” katanya dalam nota penyelidikan.

EIA menerusi Short-Term Energy Outlook September meramalkan harga purata minyak mentah Brent pada AS$91 (RM371.51) setong pada 2026, meningkat 34 peratus berbanding purata 2025, sebelum susut kepada AS$74 (RM302.10) setong pada 2027.

Sementara itu, S&P menjangkakan harga Brent mencatat purata AS$90 (RM367.42) setong atau lebih tinggi tahun ini dan sekitar AS$85 (RM347.01) setong pada 2027, walaupun harga dijangka kekal tidak menentu dalam julat AS$80 (RM326.60) hingga AS$100 (RM408.25) setong.

Menurut MBSB Research, persekitaran harga minyak yang tinggi memberi kesan bercampur kepada Malaysia memandangkan negara merupakan pengeksport bersih minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), tetapi pada masa sama pengimport bersih produk petroleum bertapis.

Bagi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), peningkatan harga Brent dijangka menyokong pendapatan syarikat selain berpotensi meningkatkan hasil kerajaan.

Setiap kenaikan berterusan AS$1 (RM408) setong dalam harga Brent dianggarkan menjana tambahan hasil kerajaan sekitar RM300 juta hingga RM350 juta setahun menerusi cukai pendapatan petroleum, royalti dan dividen.

Bagaimanapun, manfaat fiskal itu berkemungkinan sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos subsidi bahan api.

MBSB Research berkata, keuntungan fiskal daripada harga minyak tinggi sebahagian besarnya diimbangi oleh subsidi bahan api secara pukal dan bersasar, dengan pengekalan harga petrol runcit pada RM1.99 seliter terus memberi tekanan kepada perbelanjaan kerajaan Persekutuan.

Dalam industri berkenaan, syarikat segmen huluan dijangka mencatat prestasi lebih baik apabila syarikat eksplorasi dan pengeluaran di luar Asia Barat mendapat manfaat daripada harga jualan yang lebih tinggi serta peningkatan permintaan operasi.

Pengendali segmen pertengahan pula berpotensi meraih manfaat daripada laluan penghantaran yang lebih panjang susulan gangguan di sekitar Selat Hormuz dan Bab-el-Mandeb, selain peningkatan permintaan terhadap kemudahan penyimpanan stok penimbal.

Sebaliknya, segmen hiliran berdepan persekitaran lebih mencabar apabila syarikat penapisan dan petrokimia berkemungkinan mengalami tekanan margin susulan peningkatan kos minyak mentah yang semakin sukar dipindahkan kepada pengguna.

MBSB Research berkata, pemain industri minyak dan gas perlu memberi tumpuan kepada fleksibiliti modal, kecekapan operasi dan kepelbagaian perniagaan, termasuk penggunaan operasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kos serta pelaburan dalam perniagaan rendah karbon.

Firma penyelidikan itu memilih MISC Bhd. dengan harga sasaran RM9.22 dan Dialog Group Bhd. pada RM2.57 sebagai pilihan utama.

MISC dilihat mempunyai kelebihan menerusi kedudukan kewangan yang defensif, aliran tunai jangka panjang yang lebih jelas serta peningkatan tempahan kapal pengangkut LNG dwi-bahan api.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×