Hari Malaysia kukuhkan perpaduan bukan runtuhkan kestabilan

Hari Malaysia kukuhkan perpaduan bukan runtuhkan kestabilan

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia perlu menjadi ruang memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat bukannya untuk meruntuhkan kestabilan negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perbezaan parti dan pendapat adalah sebahagian daripada amalan demokrasi namunperlu disertai kematangan serta kebijaksanaan berpolitik.

“Kita boleh berbeza parti, boleh berbeza pendapat. Kita boleh mengkritik polisi dan berbahas tentang dasar serta masa depan negara. Itulah semangat demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.

“Tetapi demokrasi juga menuntut kematangan dan kebijaksanaan berpolitik. Amat mengecewakan apabila dalam rangka menyambut hari keramat negara ini, ada pihak yang cuba menggerakkan pembubaran Parlimen,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2026, hari ini.

Menurut Mustapha, Hari Malaysia pada 16 September merupakan detik bersejarah yang menyatukan wilayah, masyarakat dan latar berbeza untuk membentuk sebuah negara berdaulat bernama Malaysia.

Katanya, atas semangat itu, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diangkat sebagai naratif nasional kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini sekali lagi menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak untuk mencapai kata sepakat berasaskan MA63 serta Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, antara perkembangan penting adalah persetujuan secara prinsip mengenai penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keperluan nisbah serta representasi kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

“Penambahan ini bukan sekadar angka tetapi memastikan suara rakyat Borneo diambil kira dalam keputusan dasar penting negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, perkembangan positif turut dicapai dalam usaha borneonisasi perjawatan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Bagi Sabah, Mustapha berkata, kerajaan Persekutuan terus memberikan perhatian serius terhadap hak Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Pemberian Khas Interim Sabah bagi 2026 ditingkatkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini, dengan baki RM900 juta dilaksanakan tahun ini.

“Namun harus diketahui bahawa pelaksanaan mengenai hak 40 peratus Sabah tidak terhenti dengan pembayaran interim tersebut malah diteruskan selaras peruntukan Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×