ALOR SETAR: Pertemuan Pas Kedah dan UMNO Kedah, semalam tidak boleh ditafsirkan sebagai permulaan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti itu di negeri ini, sebaliknya ia merupakan proses membina persekitaran yang lebih positif.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perjumpaan itu masih pada peringkat awal dan tidak ada sebarang perbincangan atau rundingan tertentu dibuat khususnya melibatkan pembahagian kerusi.
Beliau berkata, sebarang bentuk kerjasama antara Pas dan UMNO perlu diputuskan di peringkat Pusat, sementara kepimpinan negeri akan akur dengan keputusan berkenaan.
“Ini bukan (kerjasama rasmi). Kita bentuk dulu ‘environment’ yang positif. Perlu ada ‘environment’ positif, baru boleh dilanjutkan dengan perbincangan.
“Ini prosesnya. Sembang santai, kunjung hormat UMNO Kedah kepada Pas Kedah dan perbualan tentang senario politik semasa,” katanya kepada pemberita.
Pertemuan pertama itu diketuai Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Pengarah War Room BN Kedah, Datuk Othman Aziz dan Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man.
Pas Kedah pula diwakili Pesuruhjayanya yang juga Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya; Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dan Setiausaha Pas Kedah, Musoddaq Ahmad.
Tambah Muhammad Sanusi, pertemuan itu juga sebagai kesempatan untuk pemimpin kedua-dua parti berkongsi pengalaman berkaitan politik dan masa depan Kedah.
Beliau secara berseloroh berkata, ia pertemuan ‘orang tua-tua’ yang merujuk kepada pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dan memahami selok-belok politik Kedah.
“Orang tua-tua ini maksudnya yang ada pengalaman, ada kefahaman yang cukup, mahir selok-belok Kedah. Saya berterima kasih kepada semua otai-otai UMNO yang berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar. Kami sembang, berkongsi pengalaman masa lalu dan jangkaan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir memaklumkan pertemuan tersebut sebagai permulaan antara kedua-dua parti untuk membuka ruang perbincangan lebih lanjut.
“Kita bertukar pandangan berkaitan dengan negeri, politik negeri dan bagaimana antara dua parti Melayu yang ada di Kedah ini untuk jalin kerjasama. Kita mahu wujudkan keadaan yang harmoni. Kita mulakan sesuatu dengan perjumpaan santai dan menyentuh berkaitan politik hari ini.
“Saya sifatkan ia pertemuan yang baik, positif dan masing-masing lontarkan pandangan masing-masing dalam suasana harmoni,” katanya.
Beliau turut mengesahkan tiada perkara khusus terutamanya soal pembahagian kerusi dibincangkan dalam pertemuan tersebut. – UTUSAN










