Pengalaman jadi taruhan kerusi No. 2 FAM

Pengalaman jadi taruhan kerusi No. 2 FAM

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertarungan tiga penjuru merebut kerusi No.2 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diramal sengit dengan pengalaman calon menjadi taruhan.

Selain perebutan kerusi Presiden FAM, siapa yang bakal menduduki kerusi Naib Presiden 1 menjadi tumpuan dua mantan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Mohd. Firdaus Mohamed serta bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO), Syed Yazid Syed Omar.

Dengan baki sehari sebelum pemilihan, esok sukar untuk diramal siapa yang paling berpeluang memenangi kerusi itu kerana ketiga-tiga calon mempunyai kelebihan masing-masing terutama berdasarkan pengalaman dalam arena bola sepak negara.

Mohd. Firdaus berkata, tiada kempen ‘istimewa’ dalam meraih undi pada saat akhir dan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli gabungan untuk membuat keputusan.

“Bagi saya mudah, nilailah rekod lampau saya. Andai kata ahli gabungan beranggapan saya sesuai untuk jawatan itu, Insya-Allah saya akan galas amanah yang diberikan dengan baik.

“Jadi kalau rasa saya ini layak pilihlah saya, tapi kalau mereka anggap ada orang lain yang lebih layak pun tidak mengapa. Mungkin amanah itu tidak sampai dekat saya dan saya reda,” katanya.

Sementara itu, Rosmadi menyatakan komitmen untuk mengembalikan FAM kepada seluruh ekosistem bola sepak negara, termasuk penyokong jika diberi mandat.

“FAM merupakan badan yang mewakili kepentingan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya dan usaha memperkukuh badan induk itu perlu mengambil kira pandangan serta peranan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Yazid percaya peluang untuknya sentiasa terbuka selepas mendapat maklum balas positif daripada ahli gabungan.

“Saya tidak tahu boleh menang atau tidak, tapi saya lihat peluang itu ada. Ada yang mengaitkan saya dengan isu tunggakan gaji bekas pemain KL City sebelum ini, tapi semua kena faham masalah itu bukan di bawah pengurusan saya.

“Saya hanya ‘tukang cuci’ dan selamatkan KL City, kalau tidak pasukan itu sudah lenyap seperti beberapa pasukan lain sebelum ini. Perkara itu juga dinyatakan oleh wakil ahli gabungan yang menghubungi saya,” katanya.

Selain persaingan sengit kerusi Naib Presiden 1, pemilihan kali ini turut menyaksikan pertandingan satu lawan lawan satu bagi jawatan Naib Presiden 2 melibatkan Datuk N. Saaran dan Afizal Abu Othman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×