Acara terbuka perlu disesuaikan ikut tahap jerebu – Arthur

Acara terbuka perlu disesuaikan ikut tahap jerebu – Arthur

ARTHUR Joseph Kurup selepas Sesi Bersama Pemimpin Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS). - RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Penganjur acara terbuka perlu menyesuaikan penganjuran program mengikut tahap jerebu semasa, termasuk memindahkannya ke lokasi tertutup sekiranya pencemaran udara semakin buruk.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan pendedahan orang ramai kepada udara tercemar, khususnya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.

Katanya, tindakan bersesuaian akan diambil berdasarkan keadaan semasa dan tahap jerebu, selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, sambutan Hari Malaysia di Kuching dipindahkan ke dalam bangunan di Borneo Convention Centre, manakala persembahan bunga api tidak dibenarkan.

“Jadi, kita akan melihat keadaan semasa dan menyesuaikan penganjuran acara terbuka berdasarkan situasi jerebu,” katanya selepas Sesi Bersama Pemimpin Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Arthur berkata, pada tahap IPU hijau atau biru yang dikategorikan sebagai sihat dan sederhana, keadaan masih terkawal, manakala tahap kuning atau tidak sihat akan menyaksikan pengeluaran amaran serta peningkatan kerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan.

Katanya, jika bacaan mencapai tahap merah atau sangat tidak sihat, langkah lebih drastik boleh diambil termasuk pengisytiharan darurat tempatan seperti yang pernah berlaku di Serian dan Kuching sebelum keadaan kembali baik.

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata kerajaan Persekutuan sudah menghantar surat penawaran bantuan kepada kerajaan Indonesia bagi membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan yang berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Menurutnya, bantuan itu termasuk aset pesawat untuk operasi pengeboman air serta tenaga kerja bagi membantu memadam kebakaran.

Beliau berkata, perbincangan secara bersemuka dan menerusi telefon turut diadakan bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia berhubung peningkatan titik panas di Kalimantan.

Katanya, peningkatan 808 titik panas yang dikesan di Kalimantan sudah dijangka susulan ramalan Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang membawa suhu lebih tinggi serta keadaan udara kering.

“Jerebu adalah isu rentas sempadan dan apa yang berlaku di sesebuah negara akan memberi kesan kepada negara jiran.

“Justeru, Malaysia sudah menghantar surat penawaran bantuan pemadaman api, termasuk aset pesawat untuk pengeboman air dan bantuan tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×