Segelas kopi, sehelai baju mampu selamatkan bola sepak Kelantan

Segelas kopi, sehelai baju mampu selamatkan bola sepak Kelantan

KELANTAN Red Warriors (KRW) boleh diselamatkan jika semua pihak terus memberikan sokongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLA sepak Kelantan tidak sepatutnya mati hanya kerana sehelai kertas hutang.

Namun, itulah realiti yang sedang menghimpit Kelantan Red Warriors (KRW) apabila dikenakan sekatan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan hutang RM1.7 juta.

Lebih mengecewakan, liabiliti itu bukan berpunca daripada KRW, sebaliknya dikaitkan dengan sebuah entiti yang sudah tidak lagi beroperasi. Bagaimanapun, kesannya tetap terpaksa ditanggung pasukan.

Akibat sekatan berkenaan, KRW tidak dapat mendaftarkan pemain baharu untuk memperkuatkan skuad bagi menghadapi Liga Super. Tanpa pilihan untuk melakukan penambahbaikan, prestasi pasukan terus merosot sehingga kini menjadi antara pasukan yang bergelut untuk mendapatkan kemenangan.

Jadi, sampai bila penyokong hanya mahu bertanya, “Bila KRW nak menang?”

Mungkin sudah tiba masanya soalan itu ditukar kepada, “Apa yang kita sanggup lakukan supaya KRW terus hidup?”

PENAJA BUKA JALAN

Salah seorang penaja KRW, El Azman, tampil dengan satu cadangan yang wajar diberi perhatian. Beliau mempunyai kira-kira 20,000 helai Baju Melayu Elrah daripada stok lama dan mencadangkan hasil jualannya digunakan bagi membantu menyelesaikan hutang berkenaan.

Jika setiap helai dijual pada harga RM50, jumlah yang boleh dikumpulkan mencecah RM1 juta.

RM50 mungkin tidak besar bagi seorang individu. Tetapi apabila ribuan penyokong melakukan perkara sama, nilainya boleh menjadi talian hayat kepada sebuah pasukan.

Selama ini rakyat Kelantan cukup sinonim dengan gelaran ‘gila bola’. Mereka memenuhi stadium, merentas negeri dan terus memberikan sokongan ketika pasukan beraksi di gelanggang lawan.

Namun, kesetiaan sebenar bukan diuji ketika pasukan berada di puncak. Ia terserlah apabila kelab sedang berdepan krisis.

Jangan sekadar menulis “Selamatkan Bola Sepak Kelantan” di media sosial atau berkongsi poster. Jika KRW benar-benar dianggap sebahagian daripada kehidupan rakyat negeri ini, sudah tiba masa sokongan diterjemahkan melalui tindakan.

SECAWAN KOPI PUN BERMAKNA

Nasken Coffee pula merupakan pemilik utama KRW. Secawan kopi mungkin habis dalam beberapa minit tetapi pilihan untuk membeli daripada perniagaan yang mempunyai kaitan langsung dengan pasukan boleh menjadi satu bentuk sokongan tidak langsung terhadap kelangsungannya.

Tidak perlu menjadi jutawan atau mengeluarkan ribuan ringgit. Kadangkala sumbangan kecil yang dilakukan secara konsisten oleh ramai orang jauh lebih bermakna.

Bagaimanapun, bantuan penyokong tidak boleh dijadikan alasan untuk pengurusan melepaskan tanggungjawab. Pemilik, penaja dan penyokong boleh memainkan peranan masing-masing tetapi kelab tetap mesti ditadbir secara profesional, telus dan berdisiplin supaya masalah kewangan tidak terus berulang.

JANGAN ULANG SEJARAH

KRW bukan sekadar 11 pemain di atas padang. Ia menjadi hiburan, mencipta kenangan bersama keluarga dan rakan, selain membentuk sebahagian daripada identiti bola sepak Kelantan.

Kita pernah menyaksikan bagaimana The Red Warriors (TRW), yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan negeri, akhirnya lenyap daripada persada bola sepak. Kita tidak mahu nasib sama menimpa KRW.

Masih ada ruang untuk bertindak.

Mungkin sebuah pasukan tidak diselamatkan oleh seorang individu tetapi oleh ribuan penyokong yang enggan membiarkannya terkubur.

Jadi, kalau benar kita “gila bola”, buktikan. Kalau benar kita sayang Kelantan, bertindak.

Mula dengan RM50. Segelas kopi. Sehelai baju. Yang kecil bagi seorang, boleh menjadi besar apabila dilakukan bersama.

Kor guanor? –UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×