PAC dapat penjelasan rasmi isu Tabung Haji

PAC dapat penjelasan rasmi isu Tabung Haji

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga saksi utama termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri dipanggil menghadiri prosiding pertama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.

Selain TKSUK JPM yang hadir selaku pihak kementerian kawal selia, dua lagi saksi ialah Ketua Pegawai Eksekutif TH dan pengurusan kanan institusi berkenaan.

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding selama hampir empat jam itu bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi dan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan syor penambahbaikan yang digariskan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi LTH dari Tahun 2014 hingga 2020.

Menurutnya, laporan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.

“Prosiding itu merangkumi isu berkaitan kawal selia kerajaan terhadap LTH serta pengurusan, tadbir urus dan kewangan TH.

“Ia terutamanya bagi memastikan kemampanan operasi TH dalam tempoh jangka panjang di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata, PAC akan memanggil semula saksi yang hadir hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut dalam prosiding seterusnya.

Katanya, PAC turut akan memanggil beberapa saksi lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), wakil Kementerian Kewangan, agensi di bawah JPM dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB).

Katanya, kesemua pihak itu akan dipanggil sebelum PAC membentangkan penyata di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAC sedang memuktamadkan penyata bagi beberapa isu lain termasuk pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui sistem e-Jamin serta kutipan hasil yuran dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, ia turut melibatkan pelaksanaan Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) negara serta Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

“PAC akan terus melaksanakan peranan semak dan imbang selaras dengan fungsi terasnya demi memastikan akauntabiliti TH khususnya dan kerajaan secara amnya.

“Ia sekali gus mengukuhkan semula keyakinan jutaan pendeposit terhadap TH selaku institusi ulung yang menguruskan dana deposit haji jutaan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×