NCER sasar realisasi RM470 bilion pelaburan menjelang 2030

NCER sasar realisasi RM470 bilion pelaburan menjelang 2030

AKMAL Nasrullah (empat dari kiri) melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan realisasi pelaburan kumulatif sebanyak RM470 bilion menjelang 2030 menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelan berkenaan merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk menterjemahkan wawasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke peringkat wilayah secara tersusun dan berimpak tinggi.

Beliau berkata, pelan tersebut bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk menjadikan NCER sebagai peneraju pelaburan perindustrian bernilai tinggi serta hab global penyelidikan, pembangunan, komersialisasi, teknologi dan inovasi.

“Sasaran-sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan komitmen untuk memastikan setiap ringgit pelaburan yang masuk diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya ketika melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak 70 peratus daripada sasaran pelaburan itu dijangka disumbangkan sektor utama termasuk elektrik dan elektronik (E&E), automotif, pelancongan bernilai tinggi serta pertanian moden.

“Pelan strategik ini turut menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara kepada RM369 bilion menjelang 2030.

“Selain itu, NCER menyasarkan kewujudan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti termasuk 45 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi serta menetapkan sasaran peningkatan pendapatan isi rumah median kepada RM7,500,” katanya. 

Akmal Nasrullah berkata, pelan baharu itu disokong empat teras iaitu meningkatkan keupayaan, memacu inovasi, mengupayakan pertumbuhan dan memanfaatkan kelebihan wilayah.

Katanya, empat teras berkenaan pula disokong 15 strategi dan 21 inisiatif bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.

Menurut beliau, pelan strategik itu turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan seimbang antara negeri serta kawasan bandar dan luar bandar melalui peningkatan produktiviti sektor utama, pemerkasaan rakyat dan bakat, pengukuhan infrastruktur dan kesalinghubungan serta pemacuan inovasi.

“Antara projek jangka panjang utama yang dikenal pasti ialah Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), Hab Logistik dan Pembuatan Termaju Sidam (SLAM), Bandar Getah Kedah (KRC), Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), kawasan perindustrian Bagan Datuk, Penang Silicon Island serta zon ekonomi sempadan utara Semenanjung,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, NCER akan menyelaras kerjasama rentas kerajaan, kementerian dan agensi bagi menghubungkan pelaburan dengan bakat, teknologi, perusahaan tempatan serta rantaian bekalan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemasukan pelaburan menghasilkan nilai ekonomi yang lebih meluas kepada Wilayah Utara.

“Berdasarkan pencapaian memberangsangkan yang direkodkan NCER dalam RMK12, sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 ini telah melangkaui sasaran dalam RMK13 untuk Wilayah Utara.

“Dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan, saya yakin NCER mampu memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dan hab teknologi bertaraf dunia, demi merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×