Industri pelancongan jana RM323 bilion pada 2025

Industri pelancongan jana RM323 bilion pada 2025

PELANCONG teruja melihat pemandangan di sekitar River of Life di Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan Malaysia menjana RM323.0 bilion pada tahun 2025, menyumbang 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, subsektor perdagangan runcit menyumbang 50.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti makanan dan minuman (16.4 peratus) serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan (13.1 peratus).

“Penginapan serta aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi pula masing-masing menyumbang 9.3 peratus dan 4.3 peratus kepada nilai ditambah industri pelancongan.

“Berbanding tahun sebelumnya, industri pelancongan berkembang sebanyak 8.6 peratus berbanding 7.8 peratus pada 2024, didorong oleh permintaan kukuh daripada perbelanjaan pelancongan dalaman merangkumi perbelanjaan masuk dan domestik.

“Perbelanjaan pelancongan dalaman bertumbuh 15.2 peratus merekodkan RM236.9 bilion berbanding RM205.6 bilion pada 2024, dengan sumbangan utama daripada pelancongan inbound (52.7 peratus) dan domestik (47.3 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurut DOSM, perbelanjaan pelancongan inbound melonjak 16.5 peratus kepada RM124.8 bilion yang diterajui oleh pelancong sebanyak 95.6 peratus, manakala pelawat harian menyumbang 4.4 peratus.

“Sementara itu, perbelanjaan pelancongan domestik berkembang 13.8 peratus menjana RM112.1 bilion, terutamanya disumbangkan oleh pelancong sebanyak 58.3 peratus dan pelawat harian merangkumi 41.7 peratus.

“Dari segi guna tenaga, industri berkaitan pelancongan mencatatkan seramai 3.7 juta orang iaitu menyumbang 22.1 peratus kepada jumlah guna tenaga di Malaysia dengan pertumbuhan meningkat 3.5 peratus.

“Komposisi guna tenaga didominasi oleh subsektor perdagangan runcit sebanyak 37.9 peratus, diikuti perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman (36.7 peratus) serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan (10.5 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×