TEHERAN: Ketua keselamatan Iran pada Selasa menolak sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden, Donald Trump berkata, beliau terbuka untuk menyambung semula perbincangan mengenai perang di Asia Barat.
“Jangan terpengaruh dengan kenyataan bercampur-campur Presiden AS itu. Daripada ‘tiada rundingan’ kepada ‘kami bersedia untuk berbincang’.
“Taruhannya berkaitan minyak dan selat sudah berubah. Usaha mengawal kerosakan tidak akan menghentikan apa yang bakal berlaku. Tiada rundingan sehingga syarat Iran dipenuhi, titik!,” kata Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei dalam hantaran di X.
Trump pada Isnin berkata, beliau terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Iran selepas berminggu-minggu mengatakan masih terlalu awal untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang.
“Negara Iran yang gagal mahu mencapai perjanjian dengan cepat dan bersungguh-sungguh. Saya akan menentukan sama ada AS akan memilih untuk terlibat, konsep yang kami terbuka untuk lakukannya,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.
Iran berulang kali mengemukakan tuntutan termasuk pampasan perang dan penghapusan sekatan sebagai prasyarat untuk menamatkan perang serta sekatannya di Selat Hormuz.-AFP










