SPRM ambil keterangan bekas Pengerusi Felda dalam masa terdekat

SPRM ambil keterangan bekas Pengerusi Felda dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merekodkan keterangan beberapa individu, termasuk bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bergelar Tan Sri, dalam masa terdekat.

Menurut sumber, bekas pengerusi berusia 77 tahun itu akan dipanggil bagi membantu siasatan terhadap badan berkanun berkenaan.

“SPRM akan merekodkan keterangan bekas pengerusi itu,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan beberapa dokumen termasuk minit mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) membabitkan Felda sedang diteliti SPRM.

Penelitian tersebut antara lain bagi menentukan sama ada keputusan berkaitan pelantikan syarikat pemaju serta penjualan tanah milik badan berkanun itu dibuat mengikut prosedur dan bidang kuasa yang ditetapkan.

Ia termasuk sama ada terdapat sebarang kelulusan daripada pihak Menteri diperlukan dan telah diperoleh pada ketika keputusan itu dibuat.

Siasatan turut melihat proses kelulusan yang berlaku ketika itu termasuk sama ada perkara berkenaan telah dibawa kepada pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan kelulusan.

Aspek yang turut diberi perhatian SPRM ialah kemungkinan berlaku perbuatan mengelirukan BOD selain terdapat dokumen atau rekod berkaitan transaksi berkenaan yang telah diubah, dimanipulasi bagi mempengaruhi proses membuat keputusan.

Pada 7 September lalu, dua individu termasuk seorang bekas pengarah besar bergelar ‘Datuk’ direman kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berhubung isu penjualan tanah milik Felda.

Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam salah guna kuasa bagi pelantikan sebuah syarikat pemaju untuk projek pembangunan di Kuala Lumpur.

Kedua-dua individu berkenaan turut disyaki mempunyai kaitan dengan urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju.

Urusan penjualan tanah berkenaan dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat badan berkanun terbabit.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×