KONVENSYEN Perkhidmatan Awam 2026 (KOPA 2026) yang berlangsung pada 9 hingga 10 September lalu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memberi gambaran jelas tentang arah baharu perkhidmatan awam Malaysia.
Konvensyen ini memperlihatkan bagaimana agenda reformasi yang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diterjemahkan daripada dasar dan aspirasi kepada penyampaian yang benar-benar dapat dirasai rakyat.
KOPA 2026 menghimpunkan pemimpin sektor awam, pembuat dasar, ahli akademik, syarikat berkaitan kerajaan, industri dan pertubuhan masyarakat dalam sebuah platform yang memberi tumpuan kepada agenda reformasi, tadbir urus, transformasi digital dan kolaborasi rentas sektor.
Tema ‘Merealisasi Reformasi, Menyantuni Rakyat: Meneraju Perkhidmatan Berintegriti dan Berimpak’ membawa mesej reformasi pentadbiran tidak boleh berhenti pada perubahan struktur atau prosedur.
Dalam pentadbiran moden, rakyat menilai kerajaan berdasarkan sama ada urusan mereka menjadi lebih mudah, keputusan lebih cepat, birokrasi berkurang dan perkhidmatan diberikan secara adil.
Di sinilah perkhidmatan awam menjadi nadi kepada kejayaan Malaysia Madani.
Kepimpinan politik boleh menetapkan hala tuju tetapi penjawat awam menterjemahkan sesuatu dasar kepada permit yang diluluskan, bantuan yang sampai kepada penerima, aduan yang diselesaikan, sekolah dan hospital yang berfungsi serta pelbagai perkhidmatan yang disentuh rakyat setiap hari.
Sebab itu reformasi perkhidmatan awam tidak boleh hanya berlegar pada perubahan organisasi. Ia memerlukan pembaharuan pemikiran, budaya kerja dan nilai.
Amanat kepimpinan KOPA menegaskan transformasi sebenar bukan sekadar pendigitalan atau penggunaan teknologi baharu tetapi turut menuntut perubahan cara bekerja, keberanian meninggalkan kaedah lapuk dan keupayaan menghasilkan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) merupakan antara instrumen penting ke arah tersebut. Dilancarkan pada 10 September 2024, ARPA dibangunkan sebagai kerangka penambahbaikan menyeluruh hasil sumbang saran penjawat awam daripada pelbagai kementerian.
Kerangka ini digerakkan melalui lima Teras Keberhasilan Reformasi, 20 Strategi Keberhasilan Reformasi serta pendekatan yang menekankan penyelarasan dan integrasi.
Reformasi ini mula menunjukkan hasil yang boleh diukur. Antaranya pelaksanaan 447 projek Reformasi Kerenah Birokrasi yang dilaporkan menghasilkan penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.95 bilion.
Pencapaian sebegini penting kerana menunjukkan reformasi birokrasi bukan isu dalaman kerajaan semata-mata. Apabila prosedur dipermudah dan peraturan yang tidak lagi relevan diperbaiki, kesannya turut dirasai oleh perniagaan, komuniti dan rakyat.
Namun, profesionalisme perkhidmatan awam tidak boleh diukur melalui kepantasan semata-mata. Kecekapan yang tidak disertai integriti boleh menghasilkan keputusan yang pantas tetapi tidak adil. Sebaliknya, prosedur yang terlalu berhati-hati sehingga melumpuhkan tindakan juga akhirnya membebankan rakyat.
Justeru, integriti perlu dilihat dalam pengertian yang lebih luas daripada sekadar mengelakkan rasuah atau salah guna kuasa. Integriti ialah bagaimana amanah dilaksanakan secara adil, cekap, telus dan bertanggungjawab.
Teks ucapan penutup KOPA menyatakan urusan seperti menyelesaikan permohonan, menyediakan perkhidmatan dan menangani aduan mesti dilakukan dengan cepat, adil serta berintegriti.
SELARI PRINSIP MALAYSIA MADANI
Prinsip ini sangat dekat dengan nilai Malaysia Madani, khususnya Ihsan. Menyantuni rakyat bukan sekadar keramahan di kaunter atau bahasa yang baik dalam surat rasmi. Ia bermaksud kerajaan mendengar, memahami perbezaan keperluan masyarakat dan mereka bentuk penyelesaian berdasarkan pengalaman sebenar rakyat. Reformasi yang baik akhirnya mesti ‘bermuara’ kepada rakyat.
Perubahan besar juga perlu berlaku dalam cara prestasi kerajaan diukur. Selama ini, kejayaan organisasi sering dikaitkan dengan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
KPI tetap penting tetapi sesuatu organisasi boleh mencapai keseluruhan sasaran aktiviti sedangkan masalah sebenar rakyat masih belum selesai.
Atas sebab itu, antara gagasan penting Resolusi KOPA 2026 ialah memperluas ukuran prestasi kepada Prestasi Impak Utama (KIP) dan Petunjuk Impak Bersama (SII). Pendekatan ini mengalihkan perhatian daripada sekadar jumlah program dan output kepada apakah nilai awam yang diwujudkan dan kesan sebenar kepada rakyat?
Ini merupakan anjakan yang wajar. Sebuah kementerian mungkin berjaya menganjurkan ratusan program, membelanjakan peruntukan mengikut jadual dan mencapai KPI yang ditetapkan.
Namun, jika rakyat masih berdepan proses berulang, masa menunggu yang panjang atau perlu berurusan dengan beberapa agensi bagi menyelesaikan satu masalah, maka reformasi masih belum selesai.
Cabaran ini berkait rapat dengan budaya silo. Masalah rakyat tidak mengenal sempadan kementerian. Kemiskinan, kesihatan, pendidikan, perubahan iklim, mobiliti, keselamatan siber dan kos sara hidup merupakan isu rentas sektor.
Penyelesaiannya memerlukan kementerian dan agensi berkongsi maklumat, menyelaraskan tindakan dan bertanggungjawab secara bersama.
Justeru, Resolusi KOPA mencadangkan pengukuhan pendekatan keseluruhan kerajaan, perkongsian data yang selamat dan pendekatan Kerajaan Berteraskan Misi bagi mengurangkan pertindihan serta menangani isu yang merentasi sempadan organisasi.
Ini juga selari dengan keperluan membina perkhidmatan awam sebagai penyelaras kepada sebuah ekosistem yang lebih besar melibatkan kerajaan, sektor swasta, universiti, masyarakat sivil dan komuniti.
Transformasi digital pula akan menjadi antara penentu utama profesionalisme perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Kecerdasan buatan (AI), automasi proses robotik dan integrasi data menawarkan peluang besar untuk memendekkan proses, mengurangkan kerja berulang dan meningkatkan ketepatan keputusan tetapi teknologi tidak boleh menjadi matlamat pada dirinya sendiri.
Resolusi KOPA menekankan penggunaan digital dan AI perlu disertai tadbir urus yang bertanggungjawab, termasuk etika, ketelusan, pengawasan manusia, interoperabiliti dan keselamatan siber.
Pada masa sama, perkhidmatan digital perlu inklusif dan mudah diakses supaya warga emas, masyarakat luar bandar, golongan rentan atau mereka yang kurang mahir teknologi tidak tersisih.
KOPA 2026 memberikan asas yang kukuh untuk tindakan selanjutnya. Sebanyak 144 kertas kerja daripada penjawat awam, akademik, penyelidik dan pengamal profesional telah menghasilkan 10 resolusi utama merangkumi integriti, pengukuran impak, pendigitalan, integrasi sistem, tadbir urus AI, kepimpinan adaptif, kesejahteraan penjawat awam dan kolaborasi rentas sektor.
Yang penting, resolusi ini tidak boleh berakhir sebagai dokumen konvensyen.
Ketua Setiausaha Negara menekankan supaya resolusi KOPA diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, boleh diukur dan dipantau secara berterusan, termasuk melalui penyelarasan antara Bahagian Reformasi Sektor Awam JPA dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri.
Setiap keputusan perlu mempunyai pemilik, tempoh penyempurnaan, ukuran impak serta susulan dan pelaksanaan berterusan yang memastikan sesuatu keputusan diselesaikan sehingga ke penghujungnya.
Kerajaan mempunyai peluang untuk menjadikan reformasi perkhidmatan awam sebagai antara legasi terpenting pentadbiran negara. Perkhidmatan awam yang profesional bukan sahaja cekap melaksanakan arahan tetapi mempunyai kompetensi untuk menyelesaikan masalah.
Perkhidmatan awam yang berintegriti pula bukan sahaja bebas daripada salah guna kuasa tetapi berani membuat keputusan secara adil dan bertanggungjawab.
Akhirnya, kejayaan reformasi perkhidmatan awam tidak akan dinilai berdasarkan berapa banyak inisiatif yang diumumkan, tetapi sejauh mana urusan rakyat menjadi lebih mudah, keputusan lebih pantas, amanah dilaksanakan dengan integriti dan masalah rakyat benar-benar diselesaikan. –UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.










