Laporan Ismail Lasim diteliti sebelum siasatan ditentukan

Laporan Ismail Lasim diteliti sebelum siasatan ditentukan

SAIFUDDIN Nasution Ismail, beramah mesra dengan Nurul Arini Abdullah, 19, pelajar cemerlang SPM di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Setiap laporan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dipaksa menandatangani surat cara Proklamasi Pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir perlu diteliti terlebih dahulu sebelum polis menentukan klasifikasi serta hala tuju siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis menerima dua laporan yang dibuat Ismail berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh Menteri Besar. Jadi, menjadi kewajipan kami apabila menerima satu laporan, kami akan klasifikasikan tentang predikat dan hala tuju siasatan serta kertas siasatan yang hendak dibuka.

“Yang itu tentunya saya serahkan kepada kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat bagaimana hendak mengendalikan aduan itu,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tajaan menunaikan umrah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurul Arini Abdullah sempena melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), di Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, masih terlalu awal untuk mengulas tindakan lanjut berhubung laporan berkenaan kerana ia boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak perlu menghormati proses perundangan dengan menyerahkan perkara yang berada di bawah bidang kuasa pihak berautoriti, termasuk institusi kehakiman yang sedang menguruskannya.

Katanya, orang ramai tetap bebas memberikan pandangan berhubung isu berkenaan, namun polis akan memberi tumpuan kepada aspek ketenteraman awam.

“Malaysia mempunyai Perlembagaan, akta dan undang-undang tubuh negeri, manakala Negeri Sembilan turut mempunyai Undang-Undang Adat serta institusi Undang dan Yang di-Pertuan Besar.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati jalur hukum dan undang-undang. Biarkan pihak yang autoritatif dalam kes ini menguruskannya kerana sebahagiannya sudah dibawa ke peringkat mahkamah.

“Itu sudah menjadi bidang institusi kehakiman untuk menguruskannya, sementara rakyat bebas memberikan pandangan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Saifuddin mengesahkan PDRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Ismail dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada 9 September lalu, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi berkenaan tanpa kerelaannya.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Ismail dilaporkan berkata, kerajaan negeri berpendirian surat cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×