PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan pelbagai cadangan serta pandangan berkait agenda pembangunan infrastruktur negara kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dipertimbangkan menjelang pembentangan Belanjawan 2027, bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR juga telah mengadakan sesi perbincangan serta libat urus bagi mengenal pasti keutamaan yang perlu diberi perhatian.
“Banyak sangat ‘wish list’ KKR. Tak apa, kita masih dalam (proses). Memang kita dah bincang, mendalami apa yang kita (KKR) perlukan. Jadi ‘wish list’ kita dah hantar, tunggu lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.
Nanta berkata, KKR menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam kalangan 28 kementerian, termasuk RM9.6 bilion atau hampir 10 peratus daripada keseluruhan RM81 bilion Perbelanjaan Pembangunan (DE) pada 2026.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan menggariskan 10 bidang tumpuan utama Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan yang bakal dipertimbangkan. – UTUSAN










