PUTRAJAYA: Dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pertahanan dan hal ehwal Islam akan ditandatangani sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives bermula hari ini.
Lawatan dua hari itu adalah bagi memenuhi undangan Presiden, Dr. Mohamed Muizzu.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri akan disambut dalam satu upacara sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Mohamed Muizzu.
Katanya, mesyuarat tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai kerjasama sedia ada serta membincangkan inisiatif bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Maldives.
“Ini terutamanya dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, integrasi digital, pembinaan kapasiti, pelancongan dan pembangunan mampan.
“Kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya semalam.
Wisma Putra berkata, Mohamed Muizzu juga akan meraikan Perdana Menteri dalam satu Majlis Jamuan Negara.
Menurut Wisma Putra, pada tahun 2025, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Maldives kekal kukuh pada RM762.78 juta (AS$185.5 juta), dengan Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM751.67 juta (AS$182.8 juta).
Katanya, Maldives kekal sebagai rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dan merupakan destinasi eksport yang penting bagi Malaysia.
“Lawatan ini dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala serta memupuk pertumbuhan jangka panjang menerusi kerjasama dalam bidang yang membawa manfaat bersama.
“Ia berteraskan asas kukuh yang telah terbina sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1968,” katanya.
Sementara itu, Anwar ketika lawatannya ke India, beliau diberi penghormatan tinggi apabila dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abubakr di Kerala, India.
Berkongsi perkara itu di Facebook miliknya, Perdana Menteri menerima anugerah itu dalam satu Majlis Zikir dan Doa yang dianjurkan Markaz Saquafathi Sunniya di ibu pejabatnya di Kerala malam tadi.
Anwar berkata, dalam majlis meraikan beliau dan delegasi Malaysia itu menghimpunkan ulama-ulama kehormat dari Kerala dan kira-kira 2,000 penuntut ilmu yang dipimpin oleh Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.
“Alhamdulillah, saya telah dikurniakan Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abubakr,” katanya.
“Saya menerima anugerah ini dengan penuh rendah hati dan mendedikasikannya kepada para ulama, pendakwah, ilmuwan dan pencinta ilmu yang telah mencurahkan bakti serta jiwa dan raga dalam menyebarkan dakwah untuk mengangkat martabat umat,” katanya. – UTUSAN










