PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Kim Pan Gon mahu anak buahnya lebih tajam dan ‘membunuh’ perlawanan lebih awal dalam dalam aksi akan datang bagi mengelak lawan melakar kebangkitan.
Peringatan itu hadir selepas Gergasi Merah meneruskan rentak kemenangan keempat berturut-turut dalam Liga Super apabila menewaskan Kuala Lumpur City F 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin
Dalam aksi berkenaan, Selangor seolah-olah lambat panas, sekali gus memberi sedikit kebimbangan kepada Pan Gon dan peminat setia Gergasi Merah biarpun mereka menguasai sebahagian besar perlawanan.
Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, menjaringkan gol seawal mungkin amat penting bagi memastikan pasukannya dapat mengawal permainan dengan lebih baik.
“Saya berasa apa yang dilakukan pemain adalah satu persembahan yang hebat untuk memberikan aksi terbaik kepada penyokong dan suasana di stadium juga sangat bagus.
“Saya fikir jaringan hadir agak lewat, ia sedikit mengecewakan. Namun, kami cuba menjaringkan gol awal dan cuba mendominasi permainan serta mengawalnya berdasarkan karakter kami.
“Pada awal permainan, kami sudah mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Jadi, menjaringkan gol awal adalah sangat penting. Selepas gol pertama, menjaringkan gol kedua juga sangat penting.
“Kadang-kadang jumlah gol yang kami hasilkan tidak menggambarkan prestasi kami. Jika kami mahu menjadi pasukan yang lebih baik dan mahu mencabar kedudukan terbaik, kami perlu memperbaiki perkara itu,” katanya.
Dalam aksi di MBPJ, Selangor yang tampil garang sejak awal permainan berjaya membuka jaringan menerusi A Selvan pada minit ke-25 sebelum Chrigor Moraes dan Eduardo Sosa menambah gol pada minit ke-51 dan 73.
Kemenangan itu meletakkan Gergasi Merah kekal di kedudukan ketiga, berkongsi 12 mata bersama pasukan tangga kedua, Kuching City dan tiga mata di belakang JDT yang berada di puncak carta liga.
Dalam pada itu, pengendali KL City, Datuk Dollah Salleh mengakui mutu persembahan keseluruhan yang ditampilkan pasukannya dalam perlawanan itu jauh berbeza dengan Selangor.
“Kalau nak dibandingkan saya berasa kami jauh berbeza dengan Selangor. Penjaga jaga gol kami sebenarnya banyak main peranan dan dia menyelamatkan KL City daripada menerima kekalahan lebih besar.
“Kalau nak kira, kami kena lebih daripada lima gol. Namun, saya ucap tahniah pada penjaga gol (Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi) yang menyelamatkan keadaan kami daripada menerima lebih daripada tiga gol,” katanya. – UTUSAN










