Teknologi inklusif perlu perluas peluang masyarakat

Teknologi inklusif perlu perluas peluang masyarakat

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan Buku Prosiding Persidangan kepada Rektor UMSU, Prof. Dr. Akrim sempena Majlis Perasmian Penutupan International Conference on Next-Generation Digital Technologies (NEXT-D) 2026 di UMSU, Medan, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan teknologi secara inklusif berupaya memperluas akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, membuka lebih banyak peluang ekonomi serta memperkasa kemahiran dan potensi generasi muda.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, teknologi perlu dimanfaatkan sebagai pemudah cara untuk memperluas peluang, khususnya kepada golongan muda, asnaf dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Titahnya, hubungan antara institusi dan negara pula perlu diterjemahkan melalui penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat.

Menurutnya, kecerdasan buatan (AI) kini mempengaruhi pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, ekonomi dan perkhidmatan awam, dengan potensinya semakin berkembang seiring kemajuan teknologi.

“Namun, kemajuan teknologi tidak seharusnya diukur berdasarkan tahap kecanggihannya semata-mata. Pembangunan AI perlu sentiasa berpandukan etika, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan International Conference on Next-Generation Digital Technologies (NEXT-D) 2026 di Auditorium Kampus Utama, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Medan, Indonesia semalam.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor UMSU, Prof. Dr. Akrim. Turut hadir, Penasihat Persidangan NEXT-D merangkap Pengerusi Eksekutif Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Persidangan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 September itu dianjurkan bersama oleh UMSU dan FCoEE dengan mengangkat tema Transforming The Digital Landscape With Emerging Technologies.

Persidangan tersebut memberi tumpuan kepada peranan teknologi termaju dalam membentuk dan memacu transformasi landskap digital global, selain menjadi wadah perkongsian ilmu, penyelidikan serta kepakaran antara ahli akademik, industri dan pemegang taruh dari pelbagai negara.

Lebih 200 pakar global, ahli akademik dan penggiat industri dari Malaysia, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India, Arab Saudi serta beberapa negara lain menyertai persidangan berkenaan bagi membincangkan perkembangan dan hala tuju inovasi teknologi masa hadapan.

Kesemua kertas kerja yang diterima dan dibentangkan akan diterbitkan dalam Proceeding on Next-Generation Digital Technologies 2026 manakala penyertaan terbaik berpeluang dicalonkan untuk penerbitan dalam jurnal berindeks termasuk Scopus, Web of Science (WoS) dan MyCite.

Penganjuran NEXT-D 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh jaringan akademik serta kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam bidang teknologi digital dan inovasi.

Kerjasama itu diyakini mampu memperkukuh ekosistem digital yang bukan sahaja inovatif dan berdaya saing, malah berteraskan etika, keterangkuman serta memberi manfaat kepada masyarakat sejagat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×