GEORGE TOWN : “Saya dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak kecil dan mereka telah memberikan segala-galanya termasuk pendidikan yang cukup lengkap sehingga saya berjaya sampai ke tahap ini. Sekarang, tibalah masanya untuk saya pula membalas jasa mereka dengan belajar bersungguh-sungguh.”
Itu kata Nurul Atiqah Husna Azli, 19, salah seorang daripada pelajar baharu yang akan mengikuti Program Pengajian Ijazah Pertama (PPIP) Sejarah, Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada sesi pengajian kali ini.
Nurul Atiqah atau mesra disapa sebagai Tik berkata, neneknya, Noriah Mohamad Zain, 66, sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah rendah selama lebih daripada 20 tahun semata-mata untuk membiayai keperluan dirinya termasuk dari segi pendidikan sebelum terpaksa berhenti kerja, baru-baru ini.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, datuknya, Abdul Ghani Musa, 70, pula tidak lagi bekerja sejak 2007 selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia mengalami masalah kecederaan yang teruk pada bahagian lutut.
Jelas Nurul Atiqah, dia sendiri terpaksa melakukan pekerjaan sambilan untuk menampung keperluan hariannya termasuk mengumpul wang bagi menyambung pengajiannya dengan bekerja sebagai ‘live host’ yang menjual produk tertentu di laman sosial.
“Apapun, saya bangga kerana dibesarkan oleh datuk dan nenek saya walaupun tanggungjawab itu sebenarnya bukanlah terletak di bahu mereka selepas kedua ibu bapa saya memilih untuk membina kehidupan masing-masing (selepas berpisah).
“Bagi saya, kita mungkin tidak mampu untuk memilih dari keluarga manakah kita mahu dilahirkan, tetapi, kita masih boleh memilih jalan yang terbaik untuk membina kehidupan kita kerana kitalah yang akan bertanggungjawab terhadap kehidupan kita sendiri,” katanya ketika ditemui di USM di sini, hari ini.
Secara keseluruhannya, seramai 5804 calon mendaftar bagi mengikuti sesi pengajian tersebut yang dijalankan secara sepenuh masa pada sesi pengajian kali ini dengan 3,913 daripada mereka ditempatkan di kampus induk di sini manakala selebihnya ditempatkan di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan.
Sementara itu, Noriah terharu dengan kejayaan cucunya itu sehingga mampu menyambung pengajian di USM walaupun mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
“Dia (Nurul Atiqah) adalah cucu harapan saya dan saya cuma tumpang gembira atas setiap kejayaan yang dia terima,” kata wanita itu, sebak.-UTUSAN










