JAKARTA: Selepas sedekad kisah mereka menerusi Ada Apa dengan Cinta? (AADC) kembali menemui penonton pada 2016, Cinta dan Rangga kini meneruskan perjalanan hubungan mereka menerusi filem pendek Bahasa Cinta yang Beda.
Masih membawakan watak Cinta ialah pelakon terkenal Indonesia, Dian Sastrowardoyo, manakala Sissy Prescillia turut menggalas peranan dalam naskhah berkenaan yang diarahkan Teddy Soeriaatmadja.
Bagi Dian, peluang untuk kembali menyarungkan watak yang cukup sinonim dengan perjalanan seni dan kerjayanya itu bukan sekadar mengujakan, malah cukup bermakna.
Namun, kemunculan semula Cinta selepas 10 tahun turut membawa cabaran tersendiri apabila watak itu tidak lagi berada pada fasa kehidupan yang sama seperti dahulu.
“AADC sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Jadi, saya sangat teruja apabila mendapat peluang untuk meneruskan kisah hubungan Cinta dan Rangga.
“Kali ini kita tidak lagi melihat mereka dalam fasa mencari atau menemukan cinta. Sebaliknya, selepas bertahun-tahun menjalani kehidupan bersama, wujud rutin, kesibukan dan jarak yang menyebabkan hubungan antara mereka terasa semakin hambar,” katanya.
Menurut Dian, pendekatan itu menjadikan kisah Cinta lebih dekat dengan realiti kehidupan pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga.
Katanya, selepas bertahun-tahun bersama, cabaran dalam sesebuah hubungan bukan lagi sekadar bagaimana mendapatkan cinta, tetapi bagaimana mengekalkan keakraban ketika kehidupan semakin dipenuhi tuntutan dan kesibukan.
“Seperti manusia biasa, saya membayangkan Cinta juga pasti mengalami banyak perkembangan dari segi wataknya,” katanya.
Pelakon kelahiran Jakarta, 16 Mac 1982 itu berkata, perkembangan karakter Cinta dibentuk dengan teliti menerusi proses penulisan dan perbincangan bagi memastikan identiti dunia AADC terus dipelihara, pada masa sama memberi ruang kepada watak berkenaan untuk berkembang mengikut peredaran masa.
Justeru, Cinta yang diperlihatkan kali ini hadir dengan persoalan yang lebih matang.
Bukan lagi mengenai debaran cinta yang berbunga-bunga, sebaliknya mengenai usaha mempertahankan hubungan apabila masa, perhatian dan ruang untuk bersama semakin terbatas.
“Yang pasti, saya melihat ada cabaran yang berbeza. Selepas sekian lama, Cinta juga mempunyai cabaran baharu dalam menjalinkan hubungannya dengan Rangga,” katanya.
Bagi Dian, perubahan Cinta selepas sedekad merupakan antara elemen penting yang menjadikan kisah terbaharu itu lebih relevan.
Katanya, pengalaman, masa, hubungan, kerjaya dan pelbagai persoalan kehidupan secara tidak langsung membentuk seseorang menjadi individu yang berbeza berbanding dahulu.
“Apabila menjadi seseorang yang jauh lebih dewasa, rupanya cabarannya adalah perkara-perkara harian.
“Ada kesibukan, jarak, tugasan dan pekerjaan yang menyebabkan hubungan itu mungkin tidak lagi semudah dahulu,” katanya yang pernah membintangi filem Aruna & Lidahnya.
Perubahan kehidupan Cinta dan Rangga turut menimbulkan persoalan mengenai cara terbaik untuk menzahirkan kasih sayang apabila pendekatan lama tidak lagi sesuai dengan kehidupan masa kini.
Menurut Dian, bentuk perhatian dalam sesebuah hubungan juga perlu berubah mengikut masa dan keadaan.
“Dahulu, kalau diberikan buku dengan selitan puisi, itu sudah cukup membuatkan seseorang berasa sangat berbunga-bunga.
“Tetapi zaman sekarang bagaimana? Tidak boleh lagi begitu. Kita perlu mencari bahasa cinta yang berbeza,” katanya yang turut membintangi siri web Gadis Kretek.










