Status 55 rakyat Malaysia di Nepal kekal jadi tanda tanya

Status 55 rakyat Malaysia di Nepal kekal jadi tanda tanya

Pasukan (SMART MAS-01 ketika di Kathmandu bagi melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) di Nepal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Status 55 rakyat Malaysia yang terjejas insiden banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China kekal menjadi tanda tanya meskipun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah kembali ke tanah air hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, ketika ini, rekod semasa kekal seramai 55 rakyat Malaysia gagal dihubungi selain usaha mendapatkan kepastian mengenai status setiap individu terus dilaksanakan.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ini, SMART yang kembali dari Nepal pada hari ini akan memberikan taklimat kepada kementerian mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

“Sepanjang penugasannya, SMART telah melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan oleh pihak berkuasa Nepal termasuk pencarian di darat dan tinjauan udara menggunakan dron,” katanya hari ini.

Kementerian bersama agensi berkaitan akan meneliti maklumat diperoleh SMART serta perkembangan semasa yang terus diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan bersesuaian.

“Berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia yang terlibat telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya, berdasarkan maklumat terkini diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana tersebut.

“Bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART telah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal, manakala sembilan buah dron telah diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA),” katanya.

Selain itu, tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan, membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan.

“Ia termasuk melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal,” jelasnya.

Pada masa sama, usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China yang mana Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China mengenai rakyat Malaysia yang terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×