PETALING JAYA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp layak mewakili Malaysia.
Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk bola sepak dunia berkenaan selesai membuat semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain terbabit mengikut peraturan dan peruntukan yang ditetapkan.
Keputusan tersebut memberi khabar positif kepada Harimau Malaya yang berpotensi mendapat tambahan kekuatan menjelang tugasan antarabangsa akan datang iaitu Piala ASEAN FIFA, dijadualkan bermula 21 September hingga 6 Oktober ini.
Menurut FAM, pengesahan berkenaan diterima selepas FIFA meneliti semua dokumen serta maklumat yang dikemukakan berkaitan status kedua-dua pemain tersebut.
Bagaimanapun, FAM memaklumkan proses semakan terhadap dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih berjalan dan keputusan rasmi daripada FIFA masih belum diterima.
“Berdasarkan semakan yang telah dibuat, FIFA mengesahkan Bergson da Silva dan Brad Tapp layak untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.
“Status Manuel Hidalgo dan Shane Lowry pula masih dalam proses semakan serta pengesahan oleh FIFA dan FAM masih menunggu keputusan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu,” menurut kenyataan FAM.
FAM turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memberikan kerjasama penuh kepada FIFA dengan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan bagi melengkapkan proses penilaian berhubung status Hidalgo dan Lowry.
Persatuan itu juga akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai sebaik sahaja menerima keputusan rasmi daripada FIFA berhubung kedua-dua pemain berkenaan.-UTUSAN










