TEHERAN: Iran menggunakan imej satelit beresolusi tinggi yang disediakan entiti China bagi melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Jordan yang mengorbankan tiga anggota tentera AS pada Julai lalu, menurut laporan Wall Street Journal.
Pegawai AS memberitahu akhbar itu, Teheran menerima imej satelit beresolusi tinggi Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, yang mengalami kerosakan teruk dalam serangan pada 17 Julai.
Iran turut menyasarkan pesawat dan dron di pangkalan berkenaan, menurut pegawai terbabit.
Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak menamakan entiti China terbabit atau mendakwa kerajaan China terlibat secara langsung dalam serangan itu.
Laporan berkenaan muncul ketika ketegangan antara Washington dan Beijing semakin memuncak menjelang pertemuan yang dirancang antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawannya dari China, Xi Jinping pada 24 September ini.
Pegawai AS sejak beberapa bulan lalu memberi amaran mengenai syarikat China yang menjual imej satelit yang boleh digunakan Iran untuk menyasarkan tentera AS, menurut akhbar itu.
Serangan itu merupakan kematian pertama anggota tentera AS sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada April lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan Washington terhadap keupayaan Iran yang semakin berkembang untuk mengesan dan menyerang lokasi ketenteraan Amerika.
Dalam tempoh tiga hari selepas serangan itu, Iran mengeluarkan imej beresolusi tinggi yang menunjukkan kerosakan pada beberapa bahagian pangkalan berkenaan.
Berdasarkan imej satelit beresolusi lebih rendah yang tersedia kepada umum, lebih 20 struktur di pangkalan tersebutmengalami kerosakan.
Menurut pegawai AS, perkara itu merupakan bukti paling kukuh setakat ini bahawa sokongan China kepada Iran sepanjang perang mungkin membawa kesan buruk kepada tentera AS.
Bagaimanapun, pihak berkuasa China menafikan dakwaan berkenaan dan meminta bukti dikemukakan.
Pada Mei lalu, pentadbiran Trump mengenakan sekatan terhadap MizarVision, Earth Eye dan Chang Guang.
Trump mendakwa syarikat itu menyediakan, mengumpul atau menerbitkan imej yang boleh digunakan Iran untuk menyasarkan tentera AS. Pentadbiran Trump juga bimbang China mungkin membantu Iran menjejaki aset tentera laut AS.










