Pelajar undang-undang perlu pemikiran kreatif

Pelajar undang-undang perlu pemikiran kreatif

UNDANG-undang diwujudkan untuk melindungi rakyat dari cengkaman ketidakadilan dan bukannya senjata untuk menghapuskan masyarakat sivil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIASAANNYA, pelajar undang-undang amat sinonim dengan bahan bacaan yang berunsurkan akta, fakta, ratio decidendi, obiter dicta dan alasan penghakiman.

Satu fakta yang tidak boleh dikesampingkan ialah mereka kurang membaca karya-karya fiksyen dan puisi untuk ditelaah pada waktu lapang.

Salah satu asbab masalah ini timbul ialah atas rasional mereka beranggapan bahawa karya kreatif tidak memberi laba-laba yang setimpal untuk perkembangan diri.

Mungkin juga persepsi ini wujud akibat pengaruh sesetengah pempengaruh media sosial yang menyatakan bahawa membaca buku fiksyen merupakan ciri-ciri pembaca yang tidak serius.

Namun begitu, tanggapan ini amatlah dangkal dan tidak berasas. Terdapat pelbagai manfaat yang boleh dinikmati sebagai pelajar undang-undang jika membaca karya kreatif.

Salah satu kepentingan puisi dan fiksyen, umpamanya cerpen dan novel, ialah dapat membentuk pemikiran kreatif dalam mencari penyelesaian undang-undang.

Membaca puisi dan fiksyen kebiasaannya menjadikan seseorang itu teliti dan lebih kritis. Mereka akan melihat setiap tindak-tanduk manusia dengan manusiawi, sehingga mencari akar asbab sesuatu jenayah itu berlaku.

Fiksyen merakam realiti kehidupan masyarakat.

Oleh sebab itu, pelajar undang-undang yang membaca fiksyen mempunyai keupayaan untuk memahami proses berlakunya sesuatu peristiwa mahupun tragedi yang bercanggah dengan undang-undang.

Proses ini juga memudahkan mereka merungkai soalan aplikasi yang panjang berjela untuk mencetak jawapan kerana terbiasa dengan naratif yang rumit.

Akhir sekali, membaca fiksyen dan puisi dapat menjadikan seorang mahasiswa undang-undang tidak mudah memberi tanggapan mereka sewenang-wenangnya apabila peristiwa-peristiwa jenayah tular di media sosial.

Undang-undang diwujudkan untuk melindungi rakyat daripada cengkaman ketidakadilan dan bukannya senjata untuk menghapuskan masyarakat sivil.

Banyak manfaat yang boleh diperoleh dengan cara membaca bahan-bahan fiksyen serta puisi sebagai mahasiswa undang-undang.

Janganlah sesekali kita remehkan genre-genre bacaan dari sekecil-kecil komik, sehinggalah seagung-agung karya agung. – UTUSAN

MUHAMMAD AMIR HADI MAHRIZAL
Pelajar Fakulti Syariah Dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×