KULIM: Nama Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas proses pemilihan serta mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong telah diselesaikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses pelantikan jawatan berkenaan telah disempurnakan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Kita telah pun menamakannya. Pengumuman akan berlaku dalam masa sesingkat mungkin, dalam tempoh beberapa jam ke depan. Sehari dua ini kita akan umumkan,” katanya selepas mengadakan lawatan pemantauan projek Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), hari ini.
Saifuddin berkata, kekosongan ketika ini hanya membabitkan jawatan Timbalan KPN berikutan persaraan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, manakala KPN masih memegang jawatan mengikut kontrak yang sedang berjalan.
Mengulas potensi pegawai yang layak bagi jawatan berkenaan, Saifuddin berkata, semua pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) berada dalam kelompok yang layak dipertimbangkan.
Katanya, terdapat 25 pegawai berpangkat itu ketika ini selain tiga lagi yang memegang pangkat sama atas kapasiti khas, menjadikan keseluruhan 28 pegawai dalam kelompok berkenaan.
“Semua yang berada dalam kelompok itulah yang nama kita persembah kepada Seri Paduka Baginda melalui proses yang Perlembagaan Persekutuan menghendaki kita berbuat demikian. Semua itu kita dah selesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, projek pembinaan Klinik Kesihatan Padang Serai bersama kuarters bernilai RM42 juta yang terhenti akibat masalah kontraktor kini memasuki fasa akhir proses tender semula bagi melantik kontraktor penyelamat.
Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah berkata, kontraktor asal telah ditamatkan selepas hanya mencapai kemajuan yang sangat lemah iaitu 0.9 pada skala 10.
Beliau berkata, proses penilaian tender baharu termasuk pengalaman syarikat, keupayaan kewangan dan rekod kontraktor telah diselesaikan, manakala keputusan memilih dan menamakan kontraktor baharu kini hanya menunggu dimuktamadkan.
Menurutnya, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan 1 itu penting untuk disegerakan kerana kemudahan sedia ada menerima sehingga 900 kunjungan pesakit setiap hari. – UTUSAN










