KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadikan 10 taman awam sebagai platform membudayakan integriti dan menjaga alam sekitar menerusi pemasangan 15 set papan tanda Legasi Integriti Khazanah Alam (LeIKA).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kerjasama DBKL bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) menggabungkan pembudayaan integriti dengan pemeliharaan alam sekitar.
Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Program LeIKA yang menggunakan papan tanda sebagai medium pendidikan kepada masyarakat.
“Kerjasama strategik ini menggabungkan elemen pembudayaan integriti dengan pemeliharaan alam sekitar, advokasi dan juga pendidikan masyarakat.
“Sebanyak lima taman telah dipilih untuk pemasangan papan tanda LeIKA bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan alam sekitar serta integriti.
“Kerjasama bersama IIM juga akan diperluaskan dengan penganjuran lebih banyak program di taman-taman awam, khususnya sehingga tahun 2027,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Program LeIKA Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Taman Rimba Bukit Kerinchi, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIM, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim berkata, program LeIKA bertujuan menekankan prinsip integriti dalam usaha menjaga khazanah alam.
Katanya, apa yang dipelihara ketika ini merupakan khazanah yang akan diwariskan kepada generasi akan datang, sekali gus memerlukan kesedaran bersama.
“Pada saya ini sangat penting untuk memberi kesedaran kepada komuniti ataupun pelancong yang datang ke sini supaya sama-sama menjaga khazanah yang ada,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 15 set papan tanda LeIKA akan dipasang di 10 lokasi taman awam DBKL meliputi kawasan di Zon Utara, Selatan, Tengah dan Pusat Kuala Lumpur.
“Antara lokasi terbabit ialah Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Manjalara, Taman Bukit Jalil, Taman Alam Damai dan Taman Tasik Ampang Hilir.
“LeIKA turut dirancang diperluaskan ke taman kejiranan, manakala pelaksanaan program itu menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Raya Integriti yang mengutamakan kelestarian alam,” katanya. – UTUSAN










