Tiada aktiviti pembinaan di lokasi tanah runtuh berhampiran Terowong Menora - JKR

Tiada aktiviti pembinaan di lokasi tanah runtuh berhampiran Terowong Menora – JKR

KAWASAN tanah runtuh berhampiran Terowong Menora, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan, tiada kerja atau aktiviti pembinaan fizikal dilokasi tanah runtuh berhampiran Terowong Menora, Ipoh.

JKR menjelaskan, dakwaan punca kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan terorong itu akibat kerja-kerja pembinaan adalah tidak tepat.

Ini kerana katanya, projek pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata bagi menaik taraf Jalan Persekutuan FT59 dari Tanah Rata ke Kea Farm serta Jalan Persekutuan FT434 (Jalan Griddle) masih belum berjalan.

Katanya, projek masih berada pada peringkat reka bentuk, kajian penilaian serta tiada sebarang kerja pembinaan fizikal berkaitan projek dilaksanakan di tapak, kecuali kerja penyelenggaraan rutin di jalan sedia ada.

“Sebarang dakwaan yang mengaitkan kejadian banjir kilat berkenaan dengan aktiviti pembinaan fizikal projek ini adalah tidak tepat.

“Berdasarkan semakan awal, kejadian banjir di kawasan taman Mardi dan Padang Awam di Tanah Rata Cameron Highland, Pahang seperti dilaporkan pada 12 September adalah di jalan sekunder. Lokasi tersebut bukan sebahagian daripada jajaran jalan utama yang terlibat dalam projek ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, sekitar dua kilometer selepas Terowong Menora itu menyebabkan lorong kiri Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terjejas.

Susulan kejadian itu, lorong kiri arah selatan di Kilometer 263.6 itu ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan manakala aliran trafik dialihkan ke lorong kanan.

Bagaimanapun, JKR memaklumkan satu kejadian tanah runtuh berskala kecil telah berlaku di Jalan Tengkolok, iaitu kawasan di bawah skop penyelenggaraan rutin kontraktor projek.

Katanya, kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilaksanakan dengan segera dan telah selesai bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pengguna jalan raya.

“KKR memandang serius semua kebimbangan berkaitan keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana.

“Pelaksanaan projek ini tertakluk kepada semua penilaian, kelulusan dan syarat teknikal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), keperluan geoteknikal dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan. Kerja pembinaan fizikal hanya akan dimulakan setelah semua kelulusan dan syarat berkaitan dipenuhi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×