KULIM: Kerajaan bakal mengumumkan tarikh kuat kuasa pindaan peruntukan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia, selepas semua persediaan berkaitan pelaksanaan diselesaikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan itu termasuk penyediaan dokumen berkaitan, Peraturan-Peraturan Warganegara 1964 serta sistem permohonan dalam talian yang membabitkan pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia.
Beliau berkata, penetapan tarikh kuat kuasa merupakan perkara terakhir yang perlu diselesaikan sebelum permohonan bagi kategori berkenaan dibuka di bawah peruntukan baharu.
“Di peringkat kementerian, semua urusan persediaan telah diselesaikan. Kita juga telah memperoleh pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara dan pihak berkaitan. Jadi, tinggal satu perkara lagi iaitu penentuan tarikh pelaksanaan pindaan berkenaan.
“Penetapan tarikh tersebut di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan kita telah menerima penetapan berkenaan sebelum kita tinggal umumkan sahaja. Selepas itu, hanya terdapat beberapa persiapan pentadbiran yang perlu kita susuli,” katanya pada sidang akhbar Program Sua Mesra di sini, semalam.
Saifuddin berkata, pelaksanaan pindaan itu dijangka memberi kelegaan besar kepada wanita atau ibu warga Malaysia yang selama ini menunggu proses kewarganegaraan anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
Beliau berkata, daripada kira-kira 50,000 permohonan kewarganegaraan tertunggak yang sebelum ini perlu diproses, sekitar 7,000 pemohon membabitkan kategori berkenaan.
“Daripada 7,000 itu, sekarang tinggal ratusan sahaja yang belum kita buat keputusan kerana permohonan lama masih kita proses sementara menunggu pindaan ini berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, selepas pindaan berkuat kuasa dan permohonan baharu dibuka, proses bagi kategori berkenaan akan dilaksanakan mengikut peruntukan yang baharu.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya pada masa sama terus berusaha menyelesaikan baki keseluruhan 4,121 permohonan kewarganegaraan daripada semua kategori permohonan tertunggak, dengan sasaran dapat diselesaikan tahun ini.
Beliau berkata, empat kategori utama yang merekodkan jumlah permohonan tinggi adalah di bawah Perkara 15A, Perkara 15(2), Perkara 19(1) dan Perkara 30(1) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










