Rundingan kerusi Pas-UMNO perlu seluruh negara, baru boleh ‘renjak’, ‘kesot’ - Sanusi - Utusan Malaysia

Rundingan kerusi Pas-UMNO perlu seluruh negara, baru boleh ‘renjak’, ‘kesot’ – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Rundingan antara Pas dan UMNO mengenai pembahagian kerusi tidak boleh dibuat dalam konteks sesebuah negeri sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira kedudukan di seluruh negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbincangan di peringkat nasional penting bagi membolehkan pelarasan kerusi dibuat antara negeri termasuk kemungkinan berlaku pertukaran kawasan yang ditandingi parti masing-masing.

Menurutnya, setakat ini beliau difahamkan soal kerusi ditandingi adalah berdasarkan status quo atau keadaan sedia ada, namun UMNO-Barisan Nasional (BN) boleh meneroka kawasan yang hendak ditandingi sekiranya mereka belum memiliki sebarang kerusi seperti di Kedah.

“Saya sebut dulu di peringkat negeri Melaka, rundingan tak boleh dibuat peringkat negeri Melaka sahaja. Rundingan mesti ambil kira seluruh negara. Barulah boleh buat adjustment sana sini. Swapping tak swapping, tak boleh swapping dalam negeri, swapping negeri lain.

“Kita kena buka medan itu bagi luas, baru boleh buat anjakan. Orang Kedah kata renjak (pindah tempat), kesot (beralih) sana, kesot sini. Kalau bincang dalam negeri itu saja, susah nak kesot.

“Macam di Kedah, Kelantan dan Terengganu ini susah nak kesot. Jadi kena ambil kira negeri-negeri lain juga,” katanya selepas merasmikan Karnival Sepak Raga Tuju Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) 2026, semalam.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata demikian sebagai mengulas intipati pertemuan yang mungkin dibincangkan antara beliau dengan UMNO Kedah yang kini sedang diatur kedua-dua pihak.

Terdahulu, beliau mengesahkan akan bertemu dengan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah bagi meneroka kemungkinan kerjasama politik antara kedua-dua parti di negeri ini.

Menurut Muhammad Sanusi, pertemuan itu kini sedang diatur selepas beliau mendapat persetujuan daripada Pas Kedah.

“Saya sudah dimaklumkan mengenai hasrat UMNO Kedah untuk berjumpa, dan saya sudah dapat persetujuan Pas Kedah untuk adakan pertemuan awal dengan Datuk Seri Mahdzir dan Datuk Seri Ahmad Bashah,” katanya.

Sementara itu beliau menegaskan, sebarang keputusan berkaitan parti hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada peringkat lebih tinggi termasuk Pesuruhjaya Pas Kedah kerana dirinya bukan ketua parti di negeri ini.

“Saya bukan ketua parti di Kedah, saya ada ketua saya iaitu Pesuruhjaya Pas Kedah. Pas Kedah pun dah bersetuju. Pejabat saya tunggu tarikh sesuai, sebab jadual saya padat, nak atur bagi elok. Kita akan berjumpa dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, pertemuan awal itu mungkin lebih kepada memahami kehendak UMNO sebelum sebarang rundingan lanjut dibuat berdasarkan arahan Pas Pusat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×