
ANCAMAN terhadap negara hari ini tidak semestinya hadir dengan senjata atau seragam. Ia boleh menyusup melalui skrin telefon, media sosial dan dunia digital, mempengaruhi pemikiran anak muda tanpa disedari.
Ekstremisme, propaganda, penipuan digital, budaya keganasan, fahaman songsang serta pelbagai ideologi rentas sempadan kini hanya berjarak satu klik daripada generasi muda.
Persoalannya, sejauh mana mahasiswa benar-benar bersedia menjadi benteng apabila berdepan ancaman yang tidak kelihatan?
Dalam konteks itu, Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) tidak seharusnya dilihat sekadar aktiviti kokurikulum atau badan beruniform di universiti. Ia medan membina ketahanan mental, fizikal, disiplin, kepimpinan dan jati diri mahasiswa sebagai persediaan menghadapi dunia yang semakin kompleks.
CETUSAN IDEA TUN ABDULLAH
Gagasan penubuhan Kor SUKSIS sendiri lahir daripada saranan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri semasa lawatan kerja ke Bukit Aman pada 4 Februari 1999.
Semasa menjadi Perdana Menteri pada 2002, Allahyarham telah menyarankan kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Omar Bakri, supaya dibangunkan satu kurikulum di universiti bagi mendekatkan jurang antara pelajar dengan polis, di samping Kor Kadet Polis di sekolah menengah dan Sukarelawan Polis (PVR) yang sedia ada.
Sejak diperkenalkan, Kor SUKSIS terus dibangunkan oleh PDRM dengan kerjasama universiti awam sebagai suatu inisiatif strategik dalam latihan kepolisan, pembentukan disiplin dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.
Seiring perkembangan serta kepentingannya kepada negara, kerangka perundangan Kor SUKSIS kini diperkasa bagi memperjelas kedudukan dan tadbir urusnya serta menjamin kesinambungan pelaksanaannya secara lebih tersusun dan mampan.
PERKASA JATI DIRI
Pemerkasaan ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membentuk generasi mahasiswa yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa khidmat dan bersemangat patriotik, yang bukan sahaja bakal memimpin masa hadapan, malah menjadi rakan strategik dalam memelihara keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Modul latihan selama tiga tahun pula memberi penekanan terhadap kefahaman kerjaya kepolisan, ketahanan mental dan fizikal serta disiplin diri.
Matlamatnya jelas melahirkan mahasiswa yang mempunyai jati diri dan disiplin tinggi, intelektual serta berkarisma dalam kepimpinan, selain memupuk semangat setia kawan dalam kalangan mahasiswa berbilang kaum dan agama.
KOR SUKSIS RELEVEN DENGAN CABARAN EKONOMI
Lebih penting, nilai yang dibentuk Kor SUKSIS amat relevan dengan cabaran ekonomi dan pasaran kerja hari ini. Dunia tanpa sempadan bukan sahaja membawa ancaman ideologi dan digital, malah menuntut mahasiswa pantas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan ekonomi.
Disiplin, kemampuan membuat keputusan, mengurus tekanan, bekerja dalam pasukan, memimpin dan bertanggungjawab terhadap keputusan ialah nilai yang turut menjadi asas keusahawanan.
Justeru, graduan tidak seharusnya hanya dibentuk sebagai ‘pencari kerja’ sebaliknya mempunyai keyakinan ‘mencipta pekerjaan’ dengan menerusi peluang ekonomi untuk diri sendiri dan orang lain.
Mahasiswa hari ini ialah pemimpin negara esok. Mereka perlu bukan sahaja bijak menjawab soalan peperiksaan, tetapi mampu berfikir, menilai pengaruh, membuat keputusan dan berdiri teguh ketika berdepan ancaman sebenar.
Kor SUKSIS bukan sekadar membentuk anggota beruniform. Ia membina manusia yang berilmu, berdisiplin, berani dan bertanggungjawab serta menjadi benteng anak muda untuk sebuah negara merdeka.
PROFESOR Datuk Arham Abdullah ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kor Suksis Universiti Awam.










