Itu respon Presiden kepada ceplos-ceplos - Tok Mat

Itu respon Presiden kepada ceplos-ceplos – Tok Mat

MOHAMAD Hasan ketika berucap dalam penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Jika dirasakan UMNO tidak lagi diperlukan (dalam kerajaan), maka keluarkanlah kami.”

Itu respon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika diminta mengulas kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar mengeluarkan parti itu daripada kerajaan.

Katanya, kenyataan dibuat Ahmad Zahid itu adalah respon kepada pengkritik yang mendesak supaya UMNO keluar daripada kerajaan jika sudah tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penggulungan Presiden, beliau memberi respon kepada ‘ceplos-ceplos’ (pengkritik) bukannya kenyataan kepada kerajaan kerana kritikan di media sosial adalah mendesak supaya UMNO keluar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penggulungan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, UMNO mempunyai peranan dalam kerajaan iaitu mengurus negara bersama serta menstabilkan kerajaan.

“(Pada awalnya) Cukup-cukup 112 (kerusi), yang lain itu datang kemudian. Jadi, saya yakin bahawa Presiden tadi itu memberikan responnya kepada banyak pengkritik-pengkritik yang kadang-kadang tak tahu hujung pangkal, minta supaya UMNO keluar.

“Kalau benar, kata mereka (pengkritik) mewakili parti mereka, itu sebab Presiden telah pun minta supaya buatlah undi tak percaya di Parlimen. Tapi bagi UMNO, kita tak mahu perkara seperti ini berlaku kerana ia akan mendatangkan ketidakstabilan,” katanya.

Beliau berkata, janji UMNO ketika menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah untuk kekal bersama sehingga akhir penggal dan ia akan tetap dipegang.

“Itu janji kami. Itu perjanjian kami semasa menubuhkan kerajaan ini secara bersama dulu. Jadi kami pegang perjanjian. Tapi terpulanglah kepada pihak-pihak yang berkenaan. Jika dirasakan UMNO tidak diperlukan lagi, maka keluarkan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×