Liga Super: Gol Brundo bantu Penang FC raih kemenangan sulung

Liga Super: Gol Brundo bantu Penang FC raih kemenangan sulung

PEMAIN Penang FC, Celestine Enzo (tengah) meraikan jaringan keduanya ketika menentang TRW FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jaringan penuh dramatik oleh kapten, Stefano Brundo pada masa kecederaan membolehkan Penang FC mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Kelantan Red Warrior (KRW) FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, petang ini.

Bermula baik, tuan rumah terlebih dahulu di depan seawal minit ke-4 menerusi sentuhan penyerang import kelahiran Filipina, Javier Augustine Gayoso.

Gol berpunca daripada kesilapan penjaga gol TRW FC, Amin Faisal Mohd. Saidi yang gagal menangkap kemas bola rembatan pemain tengah Penang FC, Bakhtiyor Kosimov.

Ketika aksi separuh masa pertama dilihat berakhir dengan keputusan 1-0, pelawat tiba-tiba melancarkan satu serangan balas dan berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 hasil jaringan Mazwan Che Mat yang memanfaatkan bola hantaran pemain import kelahiran Nigeria, Musa Philip Dandada.

Masuk babak kedua, Penang FC berpeluang untuk mendahului perlawanan pada minit ke-48. Bagaimanapun, Gayoso gagal menyudahkan peluang yang terhidang itu meskipun pintu gawang sudah ‘ternganga’.

Empat minit berselang, penyerang, Celestine Enzo berjaya menebus kehampaan itu menerusi jaringan kedua tuan rumah selepas menerima umpanan pemain sayap, Danie Asyraf Fadzli pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan tersebut, TRW FC kembali memperkemaskan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Emmanuel Mbarga hasil satu sepakan sudut menarik yang terus menerjah ke jaring, 10 minit kemudian.

Penang FC seterusnya berpeluang untuk kembali berada di depan selepas Enzo dijatuhkan dalam kotak penalti TRW FC pada minit ke-77. Namun, pengadil, Shukor Zulkiflee membatalkan keputusan awalnya untuk menghadiahkan tendangan penalti selepas melihat semula rakaman kejadian menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Shukor sekali lagi membuat keputusan kontroversi apabila menarik balik layangan kad merah yang diberi kepada pemain pertahanan Penang FC, Fazly Mazlan dan menggantikannya dengan kad kuning selepas pemain tersebut mengasari Mbarga pada masa kecederaan.

Beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Brundo muncul wira tuan rumah dengan jaringan kemenangan selepas menanduk masuk umpanan Obilor Faith Friday susulan kekalutan yang berlaku di hadapan gawang TRW FC.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×