KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk meminta pengurusan universiti menyediakan tiket percuma kepada pelajar B40 dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga telah mengarahkan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari UMNO untuk turut menyediakan tiket percuma kepada pelajar-pelajar B40 daripada negeri masing-masing yang belajar di Sabah dan Sarawak bagi meringankan bebanan mereka.
“Mengenai isu tiket kapal terbang yang tinggi untuk pelajar, saya telah arahkan (Menteri Pendidikan Tinggi) Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk mengarahkan universiti bagi menyediakan tiket percuma untuk pelajar B40.
“Itulah gunanya kita ada Menteri dari UMNO dan saya telah mengarahkan Menteri Besar Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Ketua Menteri Melaka untuk mengeluarkan tiket percuma kepada pelajar-pelajar B40 dari negeri berkenaan yang belajar di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau juga memberi penghargaan kepada semua Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menerima arahan bagi membantu meringankan beban pelajar B40.
Dalam perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan membangkitkan mengenai isu tiket penerbangan tinggi bagi anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung untuk pulang ke kampung halaman. – UTUSAN










