Gelaran dunia tonik Rabiatul buru aksi Sukan SEA

Gelaran dunia tonik Rabiatul buru aksi Sukan SEA

Rabiatul Adawiyah Mohd Yunus (dua dari kiri) meraih emas kategori 48 kilogram Bawah 24 Tahun pada Kejohanan Muay Thai Senior Dunia IFMA 2026 di Kosovo. - IHSAN PERSATUAN MUAY THAI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan muncul juara dunia bukan sekadar menghadiahkan emas kepada Rabiatul Adawiyah Mohd Yunus, malah membuka laluan lebih cerah buat atlet Muay Thai negara itu memburu tempat dalam Sukan SEA 2027 di laman sendiri tahun depan.

Rabiatul Adawiyah membuktikan kelasnya apabila menjuarai kategori 48 kilogram (kg) Bawah 24 Tahun (B-24) wanita pada Kejohanan Muay Thai Senior Dunia IFMA 2026 di Kosovo, kelmarin.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam radar skuad negara menjelang temasya dwitahunan berkenaan, dengan kejohanan dunia kali ini turut menjadi medan penting buat barisan kejurulatihan menilai kemampuan atlet.

Ketua jurulatih negara, Bernard Radin berkata, pencapaian 10 atlet Malaysia yang dibawa ke Kosovo memberi gambaran penting terhadap tahap sebenar mereka sebelum senarai ke Sukan SEA 2027 dimuktamadkan.

Katanya, selain kekuatan fizikal dan teknikal, aspek mental perlu diperkemaskan kerana atlet negara tidak boleh gentar hanya kerana berdepan lawan berstatus juara dunia.

“Bagaimanapun, aspek kekuatan mental perlu terus diberikan perhatian. Atlet negara perlu mempunyai keyakinan lebih tinggi apabila berdepan lawan yang memiliki reputasi sebagai juara dunia.

“Status dan pencapaian pihak lawan tidak seharusnya menyebabkan atlet hilang keyakinan sebelum memasuki gelanggang.

“Persediaan menuju Sukan SEA 2027 bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan teknikal, tetapi juga ketahanan mental, keyakinan serta kemampuan mengendalikan tekanan di pentas antarabangsa,” katanya.

Bukan Rabiatul Adawiyah seorang mencuri tumpuan apabila Marshall Jaydden Jerry turut menghadirkan kilauan emas selepas muncul juara disiplin Wai Kru lelaki di Kosovo.

Lebih menarik, kejayaan itu meneruskan rentak cemerlang Marshall di pentas antarabangsa selepas dia sebelum ini turut menjuarai Kejohanan Muay Thai Jemputan Dunia IFMA 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dalam acara Ring Combat 54kg lelaki pula, pemenang emas Sukan SEA Thailand 2025, Wassof Rumijam terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada juara dunia dari Turkiye, Hamza Eren pada aksi final.

Nur Arisya Sofea turut mencipta kejayaan berganda apabila meraih perak dalam kategori 45kg wanita Ring Combat selepas ditundukkan juara dunia dari Vietnam, Mai Hoang Khanh, sebelum bangkit menebus kekecewaan menerusi disiplin Muay Thai Teknikal (Tatami).

Nur Arisya kemudian menamatkan saingan dengan emas selepas menewaskan wakil India, Ayushree Banerjee, sekali gus membuktikan keupayaannya untuk bangkit apabila berdepan tekanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×