Kita kembali riuh seketika apabila bercakap tentang filem atau sinema Bukan jalan ceritanya secara keseluruhan, tetapi lakonan dalam babak tertentu. Semua peminat filem dan drama tempatan tahu mengenainya.
Lakonan yang mantap sekali pun menurut bahasa orang filem, tetapi menggunakan lesen kreatif berlebihan tanpa batas agama, akan tetap menerima pandangan negatif.
Sebab itu apabila sekali lagi timbul isu babak lakonan yang bercanggah adab ketimuran dengan alasan mengikut kehendak skrip, pembawa watak akan dikecam.
Kepada saya, itu antara dua isu iaitu mikro dan makro apabila membicarakan tentang filem atau sinema Melayu.
Babak-babak kontroversi antaranya aksi panas, melanggar adab dan cara hidup orang kita. Begitu juga babak-babak yang bercanggah dengan kepercayaan agama Islam, melibatkan babak kurafat dan perbomohan, pemujaan dan pendewaan. Paling sensitif dan cepat menangkap perhatian khalayak adalah aksi ranjang, seks dan perlakuan yang tidak selayaknya untuk tatapan umum.
Filem di mana-mana juga akan memanipulasi babak-babak yang cepat menangkap perhatian khalayak kerana menjadi resipi termudah menambat selera penonton atas alasan lesen kreatif.
Baru-baru ini kita dihidangkan dengan kontroversi drama Madu atau Racun yang dikatakan ada di dalamnya babak bercanggah adat ketimuran.
Drama Madu Atau Racun tidaklah mewakili keseluruhan perlakuan sinema Malaysia tetapi pengaruh filem kepada masyarakat amat kuat, justeru cepat menimbulkan kontroversi.
Masyarakat kita faham drama satu karya seni, ada jalan cerita, plot yang mempunyai rempah dan ramuan dengan konflik, ada watak jahat, ada watak baik dan pelbagai isu masyarakat.
Namun adakah atas nama lesen kreatif itu, maka semua isu yang berlaku dalam masyarakat perlu dipaparkan secara terperinci dengan adegan-adegan yang melampau.
Ini bukan bermakna anti seni dan hiburan tetapi biarlah babak drama tidak menyentuh sensitiviti Islam.
Sebelum ini banyak filem atau drama yang mencetuskan kontroversi antaranya disebabkan babak ada elemen erotik, keganasan melampau, babak agama yang dianggap menghina, politik dan isu sosial dan babak yang melibatkan kanak-kanak.
Saya pasti babak-babak itu diwujudkan bagi mengumpan penonton kerana merekalah nyawa kepada industri ini.
Namun, tidak sampai melanggar budaya masyarakat kita, atas alasan lesen kreatif tersebut.
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) berpandangan industri kreatif mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran dan nilai masyarakat, khususnya generasi muda, justeru, penghasilan karya perlu disertai kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat, selain kreativiti serta nilai komersial.
Itu sebahagian isu mikro industri perfileman Melayu. Namun isu makro yang lebih besar adalah hala tuju perfileman kita, Quo vadis kata orang Latin, dan ia bergantung siapa pengkarya, kemampuan dan kebolehan mereka, dana selain sokongan kerajaan dan penonton.
Ketika ini pun kita sudah wajar bimbang dengan tema drama atau filem yang ditayangkan di stesen televisyen tempatan. Inilah isu makronya. Kita bersetuju ia memaparkan realiti kehidupan masyarakat, krisis rumah tangga, skandal perniagaan dan pergaduhan anak beranak atau isu berebut tanah dan kepentingan perniagaan.
Pedulikan dengan cemuhan penonton kerana kita ada alasan klise, tidak suka drama atau filem tersebut, janganlah tengok.
Ada beberapa skrip kontroversi dalam industri filem atau drama kita sebelum ini. Sekadar contoh Dukun, Lelaki Komunis Terakhir, Anu Dalam Botol dan Mentega Terbang selain ada yang jalan ceritanya memualkan dan isu remeh-temeh. Konflik keluarga, skandal hingga menggoncang rumah tangga, selingkuh atau kecurangan dan subplot yang direka berlebihan.
Itu belum mengambil kira cerita saduran daripada filem Barat yang tidak pun menyaring intipati positifnya.
Ada juga satu dua fllem sebegitu. Saya percaya drama tempatan Pau Milah mencedok hampir seratus peratus filem Chocholat lakonan Johnny Depp dan Juliette Binoche.
Walaupun seakan-akan sama, kita tidak nampak mengapa ideanya dicedok dan lebih penting, tidak banyak pengajaran yang boleh diambil daripada filem berkenaan.
Jika sekali pun ingin mengambil jalan cerita luar negara, ada beberapa skrip yang menarik untuk dijadikan inspirasi seperti Ketika Cinta Bertasbih daripada Indonesia mengisahkan Azzam seorang mahasiwa Universiti Al-Azhar dan Anna disatukan sebagai suami isteri. Kisah mereka menggambarkan bahawa cinta bukan semata-mata berdasarkan perasaan romantik, tetapi berkaitan kesabaran, pengorbanan, agama, keluarga dan tanggungjawab.
Peminat filem Bollywood mungkin boleh mengingati Bajrangi Bhaijaan lakonan Salman Khan membawa seorang kanak-kanak perempuan Pakistan pulang kepada keluarganya dengan merentasi sempadan kedua-dua negara.
Sekadar dua contoh tersebut, lebih baik pengkarya filem kita membuka ruang pemikiran kepada isu-isu yang lebih meluas berdasarkan kajian dan pengetahuan sendiri.
Seperti kata Mufti Wilayah Fauwaz Fadzil kepada saya, biarlah pengkarya kita menghasilkan apa juga genre yang sifat beriltizam dengan nilai dan akhlak. Beliau juga berpesan dalam berkarya janganlah merendahkan martabat wanita dengan imej seksi.
Tidak semua produk luar ini boleh dijadikan panduan atau inspirasi menghasilkan filem. Sekadar contoh Irrevisible, Last Tango in Paris, Basic Instinct, Eyes Wide Shut, Fifty Shades of Grey, 9½ Weeks, Nymphomaniac akan menyebabkan kita beristighfar berkali kali. Terlalu banyak yang boleh dijadikan contoh sepert kisah cinta A Walk In The Clouds dan Cinema Paradiso. Kalau impikan filem yang boleh mencapai standard Oscar, dua filem Iran iaitu A Separation dan The Salesman kedua duanya arahan Asghar Farhadi pernah menjulang anugerah tersebut. Mungkin boleh belajar daripada pembuat filem tersebut atau kita mampu bikin yang lebih baik.
Ingatlah jika masih ingin meneguhkan slogan Filem Kita Wajah Kita, ia akan menjadi cabaran kepada pengkarya filem mengangkat tema serius dan membawa nilai-nilai tradisi penduduk negara ini.
Janganlah lagi membawa slogan Filem Kita Wajah Siapa? Atau tukar sahaja imej perfileman sebagai komoditi untuk didagangkan.
Isu makronya kelemahan filem kita yang patut diakui adalah kurangnya skrip bermutu, justeru kita perlukan kontroversi daripada filem seperti babak panas yang dilakonkan atau kisah-kisah gosip panas pelakonnya di luar filem.
Barangkali itu sahaja resipinya memancing perhatian penonton, bukannya jalan cerita. Iyalah sekali pun mampu menghasilkan skrip setanding Bajrangi Bhaijaan, sedarlah kita tidak ada pun pelakon setampan Salman Khan untuk memancing khalayak penggemar filem terutama golongan muda.
Oleh itu, wacana filem kita harus juga berkisar sejauh mana kita boleh sekurang-kurangnya tercalon untuk Oscar, bukan sekadar sembang remeh-temeh babak seks dan menjatuhkan maruah wanita. Ayuh pengkarya filem beriltizamlah sedemikian.
Slogan Filem Kita Wajah Kita diperkenalkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sekitar awal 2000-an sebagai usaha untuk memupuk identiti nasional dalam industri perfileman tempatan.
Menerusi slogan tersebut pembikin filem tanah air mula mencari jati diri menerusi filem yang menggambarkan budaya, nilai dan realiti masyarakat tempatan, menjadikan filem sebagai cerminan wajah sebenar negara.
Pengarah terkenal Datuk Zulkifli M. Osman memberitahu saya, filem tempatan sepatutnya dipromosikan dengan cerita yang kuat, watak yang menarik, visual yang baik dan persoalan yang membuatkan penonton mahu menonton, bukannya semata-mata dengan mencipta kontroversi.
Dalam keadaan semasa, beliau berkata, kita sudah melihat bagaimana sesuatu kontroversi kandungan boleh berkembang menjadi isu yang lebih besar sehingga industri dan kerajaan perlu mendapatkan penjelasan daripada penerbit.
Katanya, kontroversi boleh menjadi marketing tool, tetapi jangan jadikannya sebagai produk.
“Jadikan karya itu sendiri sebagai produk. Isu ini memang relevan sekarang. Pengerusi FINAS baru-baru ini menyatakan bahawa pembikin filem mempunyai hak untuk meneroka isu kontroversi, tetapi perlu mempertimbangkan kesannya terhadap tensitiviti masyarakat,“ ujarnya.-UTUSAN










