AS terus 'dibelit' hutang perang

AS terus ‘dibelit’ hutang perang

ANGGOTA bomba memberikan penghormatan semasa acara memperingati ulang tahun ke-25 serangan 11 September 2001 di New York, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: 25 tahun selepas serangan 11 September, kesan peperangan yang diterajui Amerika Syarikat (AS) masih dirasai, dengan jutaan nyawa terkorban, puluhan juta kehilangan tempat tinggal dan kos mencecah trilion dolar.

Menurut anggaran Projek Kos Peperangan di Institut Watson untuk Hal Ehwal Antarabangsa dan Awam Universiti Brown, perang yang diterajui AS sejak 2001 secara langsung atau tidak langsung mengorbankan antara 4.5 juta hingga 4.7 juta nyawa.

Jumlah itu merangkumi kira-kira 940,000 kematian secara langsung antara 3.6 juta hingga 3.8 juta kematian tidak langsung akibat penyakit, kekurangan zat makanan serta komplikasi kesihatan.

Menurut laporan Al Jazeera, lebih 38 juta orang di Afghanistan, Iraq, Pakistan, Yemen, Somalia, Filipina, Libya dan Syria turut kehilangan tempat tinggal akibat peperangan pasca serangan 11 September 2001, sama ada berpindah ke luar negara atau menjadi pelarian di dalam negara sendiri.

Kurang sebulan selepas serangan itu, AS menyerang Afghanistan, tindakan yang disebut Presiden George W Bush sebagai ‘perang menentang keganasan’, siri peperangan dan kempen ketenteraan yang seolah-olah tiada penghujung meliputi Afghanistan, Iraq serta beberapa negara Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika.

Pada 7 Oktober 2001, AS melancarkan operasi ketenteraan di Afghanistan. Taliban tumbang dalam tempoh beberapa minggu, namun perang berlanjutan hampir 20 tahun merentasi empat pentadbiran presiden AS, menjadikan konflik paling lama dalam sejarah negara itu.

Pada 19 Mac 2003, AS melancarkan pencerobohan ke atas Iraq, yang meragut nyawa 3,481 anggota tenteranya dan lebih 31,000 lagi mengalami kecederaan.

Selain peperangan di darat, AS turut melancarkan kempen serangan udara dan dron yang sebahagian besarnya tidak diisytiharkan di Pakistan, Yemen, Somalia, Afghanistan serta terhadap IS di Iraq dan Syria.

Lebih dua dekad selepas perang bermula, penduduk masih terpaksa meninggalkan rumah mereka. Tahun lalu, kira-kira 2.9 juta rakyat Afghanistan dihantar pulang dari Iran dan Pakistan, manakala lebih sejuta rakyat Iraq masih kehilangan tempat tinggal.

AS juga membelanjakan kira-kira AS$5.8 trilion (RM23.6 trilion) untuk peperangan selama dua dekad, dengan tambahan AS$2.2 trilion (RM8.9 trilion) diperuntukkan bagi penjagaan veteran tentera dalam beberapa dekad akan datang, menjadikan keseluruhan kos sekurang-kurangnya AS$8 trilion (RM32.5 trilion).

Menjelang 2030, AS dijangka membayar jumlah faedah hutang yang sama besar dengan kos peperangannya. Beban hutang itu juga akan ditanggung generasi muda yang kini berusia bawah 25 tahun.

Tinjauan pendapat menunjukkan rakyat AS kurang menyokong peperangan agresif di luar negara, manakala perang semasa di Iran juga tidak mendapat sokongan kuat daripada masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×