ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para pegawai muda tampil sebagai generasi pertahanan yang celik teknologi, bijak menilai maklumat, memahami isu keselamatan dan sentiasa peka terhadap perkembangan geopolitik.
Titah baginda, serangan siber, peperangan hibrid, penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan politik global pada masa ini turut membentuk landskap keselamatan negara.
Baginda bertitah, medan pertahanan pada masa hadapan semakin kompleks dan ia bukan sahaja melibatkan ruang fizikal, tetapi turut merangkumi aspek digital dan pemikiran.
“Saya menyeru saudara dan saudari tampil sebagai generasi pertahanan yang celik teknologi, bijak menilai maklumat, memahami isu keselamatan dan sentiasa peka terhadap perkembangan geopolitik. Dalam mendepani cabaran ini, semangat cinta akan negara mesti menjadi tunjang perjuangan.
“Pegang teguh prinsip kesetiaan, keberanian dan kejujuran dalam setiap tindakan. Bijaksanalah menilai setiap maklumat agar tidak mudah dipengaruhi propaganda, berita palsu atau naratif yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan keamanan negara.
“Pada masa yang sama, peliharalah nama baik institusi Raja, Angkatan Tentera Malaysia, universiti dan pasukan yang diwakili,” titah baginda menyempurnakan Istiadat perbarisan Diraja dan pengurniaan watikah tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri baginda, Sharifah Farah Adriana.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Naib Canselor Unimap, Datuk Dr. Zaliman Sauli.
Penganjuran istiadat ke-44 itu membabitkan seramai 1,885 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membabitkan 1,218 kadet Darat, 389 Laut dan 278 Udara.
Baginda juga berkenan mengurniakan anugerah pedang kehormat kepada 39 pegawai kadet terbaik bagi setiap perkhidmatan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan Palapes.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pegawai muda yang baharu ditauliahkan diingatkan supaya memahami tanggungjawab besar hadir yang bersama amanah sebagai seorang pegawai.
Titah baginda, tanggungjawab mempertahankan negara bukan sekadar tugas, sebaliknya komitmen dan tanggungjawab kepada tanah air.
“Berkhidmatlah dengan ilmu, berjuanglah dengan keberanian dan berdirilah teguh demi Malaysia yang berdaulat, aman dan dihormati,” titah baginda. – UTUSAN










