Jangan tutup ruang dialog, diplomasi isu Selat Hormuz

Jangan tutup ruang dialog, diplomasi isu Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak perlu kembali berdialog dan berdiplomasi bagi meredakan ketegangan serta memastikan kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz terus terjamin mengikut undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian itu dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk kembali berdialog dan berdiplomasi bagi menyelesaikan pertikaian dan meredakan keadaan,” katanya.

Pertemuan di Hotel The Oberoi itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta beberapa delegasi Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengalu-alukan hubungan diplomatik Malaysia dan Iran yang telah lama terjalin dan mengesahkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Beliau turut menyeru penerusan dan pengembangan kerjasama serta peluang perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam tenaga, pertanian, minyak sawit, keselamatan makanan, sektor halal, teknologi dan pendidikan tinggi.

Pada awal tahun ini, Anwar berkata, Malaysia akan terus mengekalkan hubungan perdagangan serta diplomatik dengan Iran walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan dari negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Tehran.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dengan Iran kekal utuh dan terus berlandaskan ketelitian, kepentingan nasional serta penghormatan terhadap kedaulatan negara lain.

Malah, tegasnya, Malaysia akan menggunakan kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan antarabangsa bagi memastikan negara tidak kelihatan lemah atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Perdagangan dua hala Malaysia-Iran mencatatkan RM2.45 bilion pada 2025, dengan sebahagian besarnya didorong eksport bernilai RM2.17 bilion yang didominasi produk minyak sawit, manakala import pula merangkumi produk minyak dan gas dari Iran.

Pertemuan itu berlangsung ketika Malaysia mahu memanfaatkan keahliannya dalam BRICS untuk meluaskan pembabitan ekonomi dengan pasaran membangun, manakala keahlian Iran dalam blok berkenaan membuka satu lagi saluran bagi kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi.

Kedua-dua negara sebelum ini mengenal pasti beberapa sektor untuk kerjasama lebih rapat, merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan penyelidikan.

Bagaimanapun, perbincangan itu berlangsung dalam suasana ketegangan yang semakin meruncing membabitkan Iran, AS dan Israel, di samping pemantauan ketat terhadap eksport tenaga serta aktiviti maritim Iran.

Bagi Malaysia, situasi itu memerlukan pendekatan berhati-hati dalam mengimbangi usaha memperluaskan hubungan ekonomi yang sah dengan Iran, sambil melindungi syarikat, institusi kewangan serta pengendali maritim tempatan daripada potensi sekatan dan kesan tindak balas perdagangan.

Pada 10.30 pagi waktu tempatan, Anwar dijadualkan bertemu rakan sejawatannya dari India yang juga hos sidang kemuncak, Narendra Modi, sebelum mengadakan pertemuan dua hala ketiga bersama Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed pada sebelah petang.

Beliau turut dijadualkan mengadakan pertemuan singkat di luar sidang kemuncak bersama Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Anwar seterusnya dijadualkan mengadakan siri pertemuan empat mata bersama tokoh korporat India, termasuk Kumpulan Adani yang mempunyai kepentingan dalam sektor pengangkutan, logistik, tenaga dan pembangunan infrastruktur berskala besar di India.

Pertemuan lain termasuk bersama Segula Technologies India Pvt Ltd, kumpulan kejuruteraan global; AWL Agri Business Ltd, antara syarikat barangan pengguna cepat laris (FMCG) serta makanan utama India; dan Kumpulan Motherson, pakar reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan, pemasangan dan logistik antarabangsa.

Anwar kemudiannya dijadualkan menghadiri majlis makan malam gala bagi pemimpin negara anggota, rakan kongsi dan jemputan BRICS di Bharat Mandapam, pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi sidang kemuncak berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×